Bangi – Jenama fesyen Raya moden tempatan, Qhiam, terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri fesyen dengan pelancaran Koleksi Raya 2026 yang menampilkan rekaan baharu, fabrik berkualiti tinggi serta pendekatan gaya yang mengekalkan nilai tradisi dan moden secara seimbang.
Tahun 2026 menjadi detik penting buat Qhiam apabila jenama ini bukan sahaja memperkenalkan koleksi Raya terbaharu, malah turut memperluaskan kehadiran fizikalnya melalui pembukaan showroom pertama di Shah Alam, diikuti cawangan baharu di Bangi, serta perancangan pembukaan kedai di IOI City Mall, Putrajaya dalam masa terdekat.

Untuk tahun kedua berturut-turut, penyanyi dan personaliti terkenal Noh Salleh sekali lagi dipilih sebagai wajah rasmi Qhiam. Pemilihan ini dilihat selari dengan identiti jenama yang menekankan keaslian, nilai kekeluargaan serta hubungan erat dengan budaya tempatan.
Noh Salleh mengetuai kempen Nohstalgia Galur 2026, iaitu koleksi sedondon untuk seisi keluarga merangkumi lelaki dewasa, wanita dewasa dan kanak-kanak. Koleksi ini mengetengahkan konsep kebersamaan dan keharmonian keluarga, selari dengan semangat Aidilfitri.
Menurut pihak Qhiam, Koleksi Galur 2026 hadir dengan penambahbaikan dari segi pemilihan fabrik yang lebih ringan dan selesa dipakai, namun masih mengekalkan mutu premium serta potongan kemas yang menjadi identiti utama jenama itu. Pembaharuan ini dibuat bagi memastikan keselesaan pemakai sepanjang musim perayaan, khususnya dalam cuaca tropika.
Ketua Pegawai Eksekutif, Adam berkata, koleksi tahun ini memperkenalkan 32 seleksi warna bagi memberikan lebih pilihan kepada pelanggan

“Seperti tahun lepas, kami ada 18 pilihan warna dan tahun ini kita tambah kepada 32 jenis warna untuk koleksi lelaki dan wanita, dan ini sekali gus memberi lebih banyak idea dan pilihan yang mencari koleksi sedondon untuk keluarga.
“Kami menerima banya respon positif dan mengambil kira cadangan dari pelanggan untuk penghasilan barisan koleksi baru tahun ini” katanya.
Jelasnya lagi, pemilihan material juga memainkan peranan utama dalam memastikan jenama Qhiam sentiasa menjadi pilihan.
Selain itu, Koleksi Kurta Teman turut diperkenalkan dengan enam rekaan dan fabrik baharu yang menggabungkan elemen moden dengan keindahan tradisional, menjadikannya pilihan versatil untuk pelbagai acara sepanjang musim Raya.
Qhiam turut mempersembahkan Artisan Teras Collection, sebuah koleksi istimewa yang mengangkat seni jahitan klasik Melayu seperti potongan pesak, kolar teluk belanga dan lengan tiga suku. Koleksi ini diperbuat daripada fabrik campuran kapas dan linen yang eksklusif, serta dipersembahkan oleh legenda muzik tanah air, Amy Search, sebagai simbol penghargaan terhadap keaslian dan warisan seni tradisional.

Bagi melengkapkan koleksi Raya 2026, Qhiam turut memperkenalkan sembilan rekaan samping eksklusif yang direka khas untuk dipadankan dengan busana koleksi tahun ini, sekali gus memberi sentuhan kontemporari kepada pemakaian tradisional.
Dalam pada itu, Sendja, jenama di bawah Qhiam yang menyasarkan golongan gadis muda, tampil dengan 13 rekaan baharu yang menampilkan gaya moden, segar dan serba boleh. Koleksi Sendja memberi penekanan kepada keselesaan, kualiti fabrik serta fleksibiliti penggayaan, sesuai untuk penampilan kasual mahupun formal tanpa mengetepikan elemen tradisi Melayu.

Menurut Qhiam, koleksi Raya 2026 dihasilkan sebagai satu penghormatan kepada keluarga, tradisi dan gaya hidup moden masa kini. Dengan peluasan rangkaian butik serta koleksi yang merangkumi semua peringkat usia, jenama ini yakin mampu menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih dekat dan bermakna kepada pelanggan.
Orang ramai dijemput untuk mengunjungi showroom Qhiam di Shah Alam dan Bangi, serta tidak lama lagi di IOI City Mall, Putrajaya, bagi melihat koleksi secara langsung, merasai kualiti fabrik dan menyemarakkan lagi persiapan Aidilfitri bersama Qhiam.
