Kuala Lumpur – Syarikat perunding kewangan, LM Tree Corporate Sdn Bhd, terus komited melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Nur Hati dalam suasana penuh kemesraan sempena bulan Ramadan.
Program tersebut diadakan bagi menyantuni golongan yang memerlukan selain memberi peluang kepada anak-anak yatim merasai kemeriahan Ramadan serta membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri.

Pengarah Eksekutif LM Tree Corporate, Muhammad Sufian Aziz, berkata majlis berkenaan merupakan salah satu inisiatif syarikat untuk mendekatkan diri dengan masyarakat di samping menyemai nilai kebersamaan dan ukhuwah.
“Alhamdulillah, program ini bukan sekadar berbuka puasa bersama, tetapi juga bertujuan mewujudkan suasana kekeluargaan dan memberi kegembiraan kepada anak-anak yatim supaya mereka turut merasai kemeriahan Ramadan,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.
Seramai 56 anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Nur Hati diraikan dalam program itu, termasuk beberapa penyertaan tambahan pada saat akhir. Bagaimanapun, terdapat juga sebahagian anak-anak yang tidak dapat hadir kerana mengikuti pengajian di pusat tahfiz.

Menurut Sufian, majlis berkenaan merupakan program CSR kedua yang dianjurkan oleh syarikat itu pada tahun ini selepas sebelum ini menjalinkan kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA dalam satu program komuniti.
Majlis tersebut turut melibatkan kerjasama daripada beberapa rakan strategik termasuk Jakel dan Giant, selain mendapat sokongan peniaga kecil dan sederhana (PKS) serta individu yang tampil menyumbang pelbagai barangan keperluan.
Menurutnya, kerjasama tersebut memberi peluang kepada anak-anak yatim membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih bermakna, terutama dari segi pakaian raya dan keperluan dapur.
“Jakel membantu menyediakan pilihan pakaian raya untuk anak-anak yatim, manakala Giant serta beberapa penyumbang lain menyumbangkan barangan dapur dan keperluan harian,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa walaupun LM Tree Corporate bukan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihaknya tetap berusaha melaksanakan pelbagai program CSR setiap tahun sebagai usaha menyumbang kepada masyarakat.

Ditubuhkan pada tahun 2016, LM Tree Corporate merupakan syarikat perunding kewangan yang membantu pelanggan menguruskan kewangan dengan lebih sistematik melalui khidmat nasihat seperti penyusunan semula kewangan dan penggabungan hutang.
“Kami membantu pelanggan menstabilkan kedudukan kewangan mereka supaya masa depan kewangan lebih terjamin,” katanya.
Sufian turut mengingatkan orang ramai supaya berbelanja secara berhemah menjelang sambutan Aidilfitri bagi mengelakkan tekanan kewangan selepas musim perayaan.

“Kita semua mahu menyambut raya dengan meriah, tetapi biarlah berpada-pada supaya tidak terbeban dengan komitmen kewangan selepas perayaan,” katanya.
Beliau menambah, pihak syarikat turut merancang untuk memperluaskan lagi program CSR pada masa hadapan termasuk penganjuran aktiviti bersama sekolah dan kelab sukan sebagai usaha berterusan membantu masyarakat.
