KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor, Shila Amzah bakal menghadiahkan sebuah konsert istimewa sempena sambutan 25 tahun penglibatannya dalam industri muzik menerusi KITA | Shila Amzah | 25 Tahun Bersama yang dijadual berlangsung pada 15 Ogos 2026 di Arena of Stars, Resorts World Genting.
Konsert berskala besar itu dijangka menghimpunkan kira-kira 5,000 peminat dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan China, sekali gus menjadi simbol penghargaan terhadap perjalanan seni Shila yang telah menempa nama bukan sahaja di tanah air, malah di peringkat antarabangsa.

Lebih mengujakan, Shila bakal menyampaikan lebih daripada 40 buah lagu sepanjang persembahan yang berlangsung dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris. Gabungan pelbagai bahasa ini mencerminkan perjalanan seni penyanyi berkenaan yang berjaya menembusi pelbagai pasaran muzik di Asia.
Menurut Shila, persembahan selama beberapa jam itu memerlukan persiapan rapi daripada aspek vokal, fizikal dan mental bagi memastikan setiap lagu dapat dipersembahkan dengan kualiti terbaik kepada para peminat.

Konsert anjuran Pink Asia Entertainment itu turut dimeriahkan dengan penampilan beberapa artis jemputan popular seperti Hael Husaini, Mimi Fly, DJ Fuzz, Balan Kash dan Kidd Santhe. Kehadiran mereka dijangka memberi variasi kepada persembahan selain meraikan kepelbagaian muzik tempatan.
Walaupun sudah menempa kejayaan di peringkat antarabangsa, Shila tetap memilih untuk berkongsi pentas bersama rakan-rakan artis tempatan sebagai penghargaan terhadap industri muzik Malaysia yang menjadi titik permulaan kariernya.
Tiket konsert dijual pada harga bermula RM149, selain menawarkan diskaun 20 peratus di The Coffee Bean & Tea Leaf kepada setiap pembeli tiket. Dengan gabungan persembahan berbilang bahasa, barisan artis jemputan dan himpunan lagu-lagu popular sepanjang 25 tahun kerjayanya, konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik paling dinantikan tahun ini.
