Kuala Lumpur – Perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan memulakan operasinya tidak lama lagi, untuk itu Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mengumumkan harga tiketnya.
Di dalam sidang media yang diadakan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak mengumumkan perkhidmatan transit dari Gombak ke Kota Bharu berharga dari RM125 untuk perjalanan sehala. Manakala harga tiket ekspres untuk perjalanan yang sama berjarak 523km tersebut berharga dari RM147.
Harga yang dinyatakan tersebut adalah harga kelas ekonomi dan tidak tetap bagi setiap perjalanan. Menurut Darwis, Kabinet meluluskan mekanisme tambang dinamik untuk perkhidmatan tersebut pada 16 Oktober 2026. Di bawah mekanisme tersebut, harga tiket bergantung pada waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk. Penetapan tersebut dibuat bagi mengelakkan peningkatan harga mendadak.
Harga dan Tawaran Diskaun

Selain dari itu, perkhidmatan ECRL akan menawarkan tiga kelas tempat duduk bagi memenuhi keperluan berbeza pengguna iaitu ekonomi, premium ekonomi dan perniagaan (business).
Terdapat dua perkhidmatan berbeza disediakan, salah satunya tren akan berhenti di kesemua stesen mengikut jadual, dan satu lagi tren ekspres yang hanya berhenti di empat stesen utama. Stesen-stesen tersebut adalah Gombak, KotaSAS di Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.
Tambang sehala paling murah yang ditawarkan adalah untuk perjalanan 209km antara Gombak ke KotaSAS pada harga RM60 untuk perkhidmatan transit dan RM68 untuk perkhidmatan ekspress. Harga yang sama juga ditawarkan untuk perjalanan dari kedua-dua arah.
Kabinet juga telah meluluskan diskaun 50% untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, warganegara emas berusia 60 tahun ke atas, pemegang kad OKU, dan pesara kerajaan. Selain itu, pelajar berusia 13 hingga 24 turut layak menerima diskaun 40% diskaun.
Perkhidmatan ECRL dijadual bermula Disember 2026

Harga tambang untuk stesen-stesen lain di sepanjang laluan akan tersedia sebaik sahaja jualan tiket dibuka secara rasmi. Jualan dijangka bermula pertengahan November dengan perkhidmatan penumpang dari Gombak ke Kota Bharu dijadualkan bermula pada 12 Disember 2026 bergantung kepada kelulusan keperluan dan kawal selia keselamatan.
Khidmat Kargo Rel
Berhubung kemajuan pembinaan, Darwis memaklumkan setakat Oktober 2026, projek ini telah siap 98.16% merangkumi ujian penerimaan tapak dan ujian integrasi sistem. Dalam pada masa yang sama, ujian tren telah bermula 25 Ogos 2026 meliputi jarak 50,000km. Ujian larian tanpa gagal pula dijadualkan pada 23 Oktober 2026 dan ujian operasi dijangka menyusul pada November.
Perkhidmatan ECRL akan membuat 12 perjalanan sehari dari Isnin hingga Khamis dengan enam tren bagi setiap arah. Untuk Jumaat hingga Ahad, bilangan perjalanan bertambah kepada 12 dengan lapan tren bagi setiap arah. Sepanjang 2027, kira-kira 2.2 juta tempat duduk akan ditawarkan.
10 set kereta api Unit Berganda Berelektrik (Electric Multiple Unit, EMU) akan dijalankan pada kelajuan sehingga 160km/j meliputi laluan 665km di antara Selangor dan Kelantan dengan masa perjalanan sekitar empat jam.
