DSC_3266.JPG

YONG PENG – Sebanyak 118 tan sisa berjaya dikutip menerusi Program Yong Peng Clean Up Month bersempena World Cleanup Day 2026, hasil penglibatan lebih 1,000 peserta yang berganding bahu menjayakan usaha memperkukuh kebersihan dan kelestarian alam sekitar di daerah ini.

Pencapaian memberangsangkan itu mencerminkan komitmen Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) dalam menggerakkan penglibatan komuniti secara menyeluruh menerusi Kempen Yong Peng Bersih, Sihat dan Selamat, dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan, Ahli-Ahli Majlis serta masyarakat setempat.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor. Aktiviti pembersihan yang dijalankan tertumpu di kawasan Parit Ah Hock dan sekitar Pekan Yong Peng.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab memelihara kebersihan persekitaran bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa tempatan atau agensi kerajaan, sebaliknya memerlukan komitmen dan penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat.

Beliau turut menggesa agar amalan menjaga kebersihan dan aktiviti gotong-royong dijadikan sebahagian daripada budaya kehidupan seharian, bukannya hanya dilaksanakan ketika berlangsungnya kempen atau program tertentu.

Bagi memastikan momentum tersebut berterusan, Yang Dipertua MDYP, Ts. Dr. Mohd Azlan bin Ab Jalil, mengarahkan supaya pelaksanaan Program Yong Peng Clean Up dan Program Johor Bersih dipergiat secara berjadual setiap hari Isnin dan Sabtu sepanjang September dan Oktober 2026.

Inisiatif berkenaan merangkumi seluruh kawasan pentadbiran MDYP, khususnya Pekan Yong Peng, Ayer Hitam, Parit Sulong, Sri Medan dan Parit Yaani, dengan Ahli-Ahli Majlis MDYP memainkan peranan penting sebagai penggerak utama bersama jabatan berkaitan, agensi kerajaan, pertubuhan dan komuniti setempat.

Selain aktiviti pembersihan kawasan awam, sistem perparitan dan lokasi tumpuan masyarakat, pendekatan yang dilaksanakan turut memberi penekanan kepada pendidikan, kesedaran sivik serta pembentukan sikap bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar.

Kejayaan mengutip 118 tan sisa dengan penyertaan melebihi 1,000 peserta membuktikan bahawa kerjasama strategik antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti mampu menghasilkan impak positif dalam mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, sihat, selamat dan sejahtera.

MDYP akan terus mempergiat pelaksanaan inisiatif kebersihan secara berterusan, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Johor untuk memperkukuh budaya kebersihan, meningkatkan kualiti perkhidmatan perbandaran serta menyediakan persekitaran yang lebih kondusif demi kesejahteraan rakyat.

MDYP turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi, pertubuhan, Ahli-Ahli Majlis, sukarelawan serta komuniti setempat atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program tersebut.

Leave a Reply