Pihak berkuasa Jepun tidak mengesahkan kematian sehingga pemeriksaan rasmi dijalankan dan sehingga kini menggunakan istilah ‘serangan jantung’ untuk kes seumpama itu.
Stesen penyiaran awam NHK bagaimanapun melaporkan bahawa seorang lelaki tua berusia 80 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun terbunuh dihempap runtuhan tembok.
Siaran langsung televisyen menunjukkan saluran paip air pecah manakala sebuah rumah dijilat api selepas gempa bumi melanda bandar metropolitan kedua terbesar di Jepun itu sejurus sebelum jam 8 pagi tadi waktu tempatan, ketika orang ramai berpusu-pusu ke pejabat.


Perdana Menteri, Shinzo Abe berkata, kerajaan sedang membuat penilaian untuk mengenal pasti jumlah sebenar kerosakan dan tumpuan utama ketika ini adalah untuk memastikan keselamatan semua penduduk terjamin.
Menurut Jabatan Meteorologi, pusat gempa itu berada di bahagian utara dan pada awalnya ia diletakkan sebagai berukuran 5.9 namun dinaikkan kepada 6.1 tidak lama selepas itu tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan setakat ini.
Sementara itu Jabatan Kuasa Elektrik Kansai mengesahkan bahawa tiada sebarang gangguan dikesan berlaku di loji nuklear Mihama, Takahama dan Ohi selepas kejadian walaupun bekalan elektrik untuk lebih 170,000 kediaman di Osaka dan Hyogo dilaporkan terputus.
