BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan bahawa beliau tidak sepatutnya dipersalahkan berikutan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan berbilion dolar Amerika Syarikat. Malah beliau mendakwa tidak mengetahui apa-apa mengenai wang daripada dana itu yang muncul dalam akaun peribadinya.

Najib yang partinya tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu selepas satu dekad berkuasa kerana skandal 1MDB, digambarkan Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) Jeff Sessions sebagai ‘kleptokrasi paling buruk’. Beliau dalam beberapa komennya mengenai skandal 1MDB berkata, tidak tahu menahu adanya beratus-ratus juta dolar yang bergerak melalui akaun peribadinya adalah dari 1MDB dan sama ada wang dari dana itu akhirnya dicuci untuk memperoleh aset secara global, termasuk kapal layar, lukisan, permata dan hartanah mewah.

“Saya tidak berpesta dengan kapal layar, lukisan. Saya tidak pernah melihat lukisan itu.

“Saya tidak menyedari pembelian ini. Ini dilakukan tanpa pengetahuan saya. Saya tidak akan membenarkan dana 1MDB untuk digunakan untuk mana-mana perkara ini.

“Saya sudah lama berkhidmat dalam kerajaan, saya tahu apa yang betul dan apa yang salah,” kata Najib dalam wawancara yang diadakan di sebuah vila mewah yang menghadap laut di sebuah hotel lima bintang di Langkawi.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa memberitahu Reuters yang pihak berkuasa mempunyai ‘kes yang hampir sempurna’ terhadap Najib atas tuduhan penggelapan, penyelewengan dan rasuah yang dikaitkan dengan 1MDB.

Dalam pada itu Najib berkata, Lembaga Pengarah 1MDB mempunyai tanggungjawab untuk memberitahunya jika ada sebarang perkara yang salah.

Santai dengan kemeja T hitam dan seluar warna coklat, Najib memberitahu bermain golf, menikmati makanan dan meluangkan masa bersama keluarganya.

Keluarganya menempah vila untuk meraikan hari raya bersama-sama.

Anak Najib, termasuk anak tirinya Riza Aziz, seorang produser filem Hollywood turut bersama dengannya untuk minggu ini, menurut pembantunya.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading