KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat dijangka terus bersidang pada 18 Mei tetapi dalam keadaan kawalan diperketatkan jika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perkara itu ditegaskan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang berkata, persidangan perlu diadakan sebelum 5 Jun atau dalam tempoh enam bulan selepas persidangan terakhirnya ditangguhkan pada 5 Disember tahun lalu.
“Jika waktu persidangan masih dalam tempoh PKP, pihak Parlimen akan memastikan ia berjalan dengan kawalan ketat sebagai langkah membendung dan pencegahan wabak COVID-19.
“Setakat ini, Dewan Rakyat akan bersidang mengikut tarikh ditetapkan. Jika waktu itu PKP dikuatkuasakan, persidangan akan diteruskan. Kita sudah bersedia untuk mengadakan persidangan.
“Apabila diadakan dalam keadaan kawalan yang ketat, mungkin hanya Ahli Parlimen, pegawai khas kerajaan dan menteri saja dibenarkan berada di Parlimen ketika persidangan berlangsung,” katanya kepada BH, hari ini.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan menyaksikan Pakatan Nasional (PN) dianggotai UMNO, PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tampil sebagai blok kerajaan
Pakatan Harapan (PH) dianggotai DAP, PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) pula kembali menjadi pembangkang. PH dijangka mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.
Kerajaan melaksanakan PKP fasa pertama sejak 18 Mac hingga 31 Mac sebelum melanjutkannya pada fasa kedua dan ketiga masing-masing pada 1 April hingga 14 April serta 15 April hingga 28 April ini bagi membendung penularan COVID-19.
Mohd Rashid berkata, persidangan Dewan Rakyat nanti meletakkan majlis perasmian mesyuarat oleh Yang di-Pertuan Agong dan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan sebagai agenda penting dalam Aturan Urusan Mesyuarat dewan.
Sementara itu, diminta mengulas adakah kawalan diperketatkan itu turut membabitkan petugas media, Mohd Rashid berkata, keputusan itu tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Difahamkan, hanya media rasmi kerajaan iaitu Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan dibenarkan membuat liputan persidangan Dewan Rakyat jika PKP masih dikuatkuasakan ketika itu.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada berlaku perubahan penyandang jawatan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat susulan PN kini menjadi kerajaan.
“Kami dilantik anggota Dewan. Sebarang perubahan, bergantung kepada keputusan anggota Dewan. Saya enggan mengulas perkara ini ,” katanya.
Ketika PH menjadi kerajaan, bekas hakim, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dilantik Yang Dipertua Dewan Rakyat, manakala Mohd Rashid daripada PKR dan Nga Kor Meng dari DAP dilantik Timbalan Yang Dipertua.
