DIC_LK_Annimated_MS_NSOMalaysia

KUALA LUMPUR – Milestone Production sekali lagi mencipta keterujaan dalam industri hiburan tempatan dengan membawakan “Disney’s The Lion King Live in Concert”, sebuah persembahan eksklusif yang menggabungkan tayangan filem legenda dengan iringan muzik secara langsung oleh orkestra penuh.

Acara berprestij ini bakal berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu, 13 Jun 2026, dengan dua sesi persembahan iaitu pada jam 2.30 petang dan 8.00 malam. Konsert ini menampilkan Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Konduktor Residen, Eric Lee.

Menggabungkan elemen visual dan audio secara langsung, penonton akan disajikan dengan tayangan penuh filem animasi klasik The Lion King, diiringi alunan muzik epik yang dimainkan secara langsung memberikan pengalaman sinematik yang lebih mendalam dan mengasyikkan.

Menghidupkan Karya Agung Bertaraf Dunia

Filem animasi yang mula ditayangkan pada tahun 1994 ini terkenal dengan skor muziknya yang memenangi pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Akademi®. Ia merupakan hasil sentuhan komposer tersohor Hans Zimmer, bersama kolaborasi hebat Elton John dan penulis lirik Tim Rice. Turut memperkayakan karya ini ialah susunan vokal dan koir Afrika oleh Lebo M yang memberi identiti unik kepada keseluruhan runut bunyi filem tersebut.

Kisah The Lion King membawa penonton ke savana Afrika, mengisahkan perjalanan hidup Simba seekor anak singa yang ditakdirkan menjadi raja. Dalam perjalanan penuh emosi, Simba berdepan pengkhianatan daripada bapa saudaranya, Scar, sebelum bangkit semula dengan bantuan rakan-rakannya, Nala, Timon dan Pumbaa untuk menuntut kembali takhtanya.

Tarikan Utama Tahun Melawat Malaysia 2026

Penganjuran konsert ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama bagi acara hiburan bertaraf antarabangsa. Ia dijangka menarik peminat dari pelbagai lapisan umur daripada kanak-kanak hingga dewasa menjadikannya acara yang menyatukan tiga generasi dalam satu pengalaman istimewa.

Keistimewaan untuk Pemegang Kad

Sebagai Rakan Bank Rasmi, UOB Malaysia menawarkan kelebihan eksklusif kepada pemegang kadnya di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam. Mereka berpeluang menikmati pembelian tiket lebih awal serta diskaun sehingga 25% bagi setiap pembelian minimum dua tiket (tertakluk kepada terma dan syarat).

Jualan Tiket & Maklumat Persembahan

Jualan tiket telah dibuka kepada umum bermula 1 April 2026, dengan harga serendah RM168.

Butiran Persembahan:

  • Tarikh: 13 Jun 2026 (Sabtu)
  • Masa: 2.30 petang & 8.00 malam
  • Tempat: Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur

Harga Tiket:

  • Premium: RM638
  • VIP: RM538
  • Kategori A: RM468
  • Kategori B: RM368
  • Kategori C: RM268
  • Kategori D: RM168

Harga tiket tertakluk kepada yuran RM6 setiap tiket serta cukai SST 8%.

Dengan gabungan muzik hebat, penceritaan ikonik dan persembahan orkestra secara langsung, “The Lion King Live in Concert” pastinya menjadi antara acara wajib tonton tahun ini bagi pencinta seni dan hiburan di Malaysia.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading