Terkini

Semak sijil pengesahan halal Malaysia melalui portal, aplikasi

KUALA LUMPUR – Senarai penuh 318 pengimport daging berlesen yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) boleh didapati di portal Halal http://www.halal.gov.my atau aplikasi SmartHalal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini, beliau berkata masyarakat Islam tidak perlu ragu dengan pengimport yang mempunyai sijil itu.

“Saya amat prihatin akan kebimbangan umat Islam dalam hal ini. KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) selaku agensi berautoriti telah melaksanakan prosedur yang tepat bagi pengurusan kes kartel daging import ini.

“Adalah sebaiknya proses penguatkuasaan dilaksanakan oleh mereka yang diberi kuasa mengikut lunas perundangan. Insya-Allah selepas selesai perbicaraan dan tindakan undang-undang di mahkamah, semuanya akan selesai,” katanya.

Pada 1 Disember lepas, negara dikejutkan dengan pembongkaran kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.

Pada 29 Januari, Zulkifli berkata status halal sesuatu produk atau perkhidmatan di pasaran boleh diperoleh dengan cepat dan mudah dengan hanya mengimbas QR Code pada aplikasi telefon pintar SmartHalal ketika melancarkan kod berkenaan secara maya.

Sementara itu, beliau berkata rundingan meja bulat anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama pengimport dan pengedar daging dan produk daging pada 11 Januari menghasilkan banyak keputusan yang bermanfaat untuk umat Islam di Malaysia.

Antara pemegang SPHM dalam kalangan pengimport daging berlesen yang hadir dalam pertemuan itu ialah GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Sushi King Sdn Bhd, Kyros Kebab Sdn Bhd, Melawati Kebab Sdn Bhd, Nusantara Meat Berhad, Ramly Food Processing Sdn Bhd, Al-Hilal Food Processing Sdn Bhd, Macfood Services (M) Sdn Bhd dan Selamat Supplies Sdn Bhd.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan hasil rundingan itu yang turut melibatkan KPDNHEP, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta pihak berkepentingan dalam industri berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut memuat naik aliran proses import daging ke Malaysia untuk pengetahuan orang ramai yang merangkumi empat langkah iaitu secara bersama, permit import, kawalan pintu masuk negara oleh dua agensi penguatkuasaan dan pasaran dengan setiap langkah menjadi tanggungjawab jabatan berkaitan.

-BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: