Terkini

Hospital swasta sedia terima sejumlah pesakit COVID-19 – PHPN

KUALA LUMPUR – Fasiliti kesihatan di hospital swasta kini bersedia menerima sejumlah pesakit COVID-19 bagi membantu mengurangkan kesesakan pesakit-pesakit COVID-19 yang kini mula memenuhi fasiliti kesihatan kerajaan.

Pengerusi Nexus Penjagaan Kesihatan Swasta (PHPN) Datuk Dr Jacob Thomas berkata hospital swasta menyediakan sebanyak 71 unit ventilator kepada hospital kerajaan di seluruh negara ketika kes yang direkodkan di Unit Rawatan Intensif (ICU) dan Unit Rawatan Koronari (CCU) telah mula menunjukkan penurunan dan ia disahkan Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh, baru-baru ini.

Menurut Dr Jacob, penyedia kesihatan swasta sentiasa menyokong arahan dan usaha kerajaan dalam menangani apa sahaja situasi berkaitan penjagaan kesihatan di Malaysia, lebih-lebih lagi ketika negara diuji dengan peningkatan kes COVID-19 setiap hari.

“Selain itu, terdapat juga pesakit bukan COVID-19 yang dipindahkan ke hospital swasta contohnya pesakit yang perlu menjalani ujian dialisis dan pembedahan. Ini bagi mengurangkan risiko jangkitan dan membantu meningkatkan lagi kapasiti wad dan katil di hospital kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba pada 28 Jan lepas berkata penglibatan hospital swasta untuk menguruskan pesakit COVID-19 adalah antara langkah yang telah diambil kementerian bagi menangani peningkatan kes COVID-19.

Sementara itu, Dr Jacob berkata antara langkah yang diambil PHPN dalam membantu kerajaan termasuk menyediakan pusat saringan di hospital swasta serta ujian calitan kepada pekerja-pekerja asing dan setakat ini sebanyak 130 fasiliti swasta menyediakan pusat saringan COVID-19.

“PHPN juga mengambil langkah lebih awal semasa negara dilanda wabak ini dengan mewujudkan model ‘Public-Private Partnership’ (PPP) untuk merangsang penglibatan pihak swasta dan menambah baik mutu perkhidmatan kesihatan yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.

Jelasnya, melalui perubahan yang sistematik dan holistik, hospital swasta mampu memaksimumkan sumber daripada pelbagai sudut seperti peralatan, teknologi, kepakaran dan penjagaan pesakit.

“Semua ini, dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti di hospital kerajaan dengan para barisan hadapan kini berdepan tekanan fizikal dan mental dalam mendepani situasi yang sangat mencabar ini,” katanya.

PHPN merupakan inisiatif peningkatan produktiviti yang diterajui oleh sektor swasta dan disokong Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: