KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sebentar tadi, menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech, sekali gus menjadi rakyat pertama negara ini yang berbuat demikian.
Penerimaan suntikan pertama bagi Malaysia itu disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform media termasuk di media sosial, bagi membolehkan rakyat mendapat gambaran sebenar dan menyeluruh Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula secara rasmi hari ini.
Perdana Menteri menerima suntikan itu di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya di Presint 11, Putrajaya, selepas menyempurnakan Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, dengan fasa pertamanya bermula hari ini hingga April.
Terdahulu, Muhyiddin tiba di PKD Putrajaya pada kira-kira jam 2.25 petang dan membuat imbasan kod MySejahtera, yang akan menjadi aplikasi bagi satu daripada kaedah pendaftaran penerimaan vaksin COVID-19 selepas ini.
