Terkini

SSM perkenal Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP)

Kuala Lumpur – PANDEMIK Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai peringkat sejak Mac tahun lalu sehingga kini menyebabkan ramai individu hilang pekerjaan.

Keadaan ini telah mendorong kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif dan pelan pemulihan ekonomi dalam membantu meringankan beban rakyat dan sektor peniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sejak tahun lalu.

Prihatin dengan nasib rakyat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengambil langkah ke hadapan bagi menyokong usaha dan inisiatif kerajaan untuk memudah cara rakyat yang terkesan menceburi bidang perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Nor Azimah Abdul Aziz berkata, SSM sebagai sebuah badan berkanun yang mengawal selia entiti perniagaan di negara ini melalui aktiviti pendaftaran, pembekalan maklumat dan penguatkuasaan seimbang memahami kesukaran sebahagian masyarakat dalam mengharungi detik sukar ini.

Beliau berkata, SSM telah melaksanakan pelbagai inisiatif pada tahun 2020 dan masih diteruskan pada tahun ini.

“Antara inisitif yang telah diperkenalkan adalah Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP).

“SPPP diperkenalkan sebagai sokongan dan galakan kepada masyarakat khususnya golongan B40 untuk menceburi bidang perniagaan bagi menjana sumber pendapatan alternatif kepada penggajian terutamanyaapabila hilang pekerjaan,” katanya.

SPPP diperluas kepada usahawan B40, pelajar IPT

Menurut Nor Azimah, SPPP telah diperkenalkan bagi membantu individu terjejas akibat pandemik Covid-19 untuk mendaftarkan perniagaan mereka secara percuma melalui pengecualian fi pendaftaran.

Beliau berkata, sebelum ini, SSM telah melancarkan Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan (S1P1P) pada 1 Januari 2017.

“Di bawah program ini, pelajar-pelajar sepenuh masa di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), politeknik, kolej dan pusat-pusat kemahiran dalam negara yang ingin mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 akan dikecualikan fi pendaftaran,” katanya.

Nor Azimah berkata, sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 65,837 perniagaan telah memanfaatkan S1P1P.

“Selaras dengan situasi semasa, SSM komited untuk membantu masyarakat yang terkesan dengan memperkenalkan SPPP yang dilancarkan pada 23 Disember 2020. SPPP diperkenalkan sebagai usaha penambahbaikan kepada S1P1P,” katanya.

Beliau berkata, pelancaran itu adalah lanjutan daripada pengumuman yang dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di sidang Dewan Rakyat pada 15 Disember 2020.

“Pada peringkat awal pelaksanaan SPPP, skim ini ditawarkan kepada golongan belia dan ibu tunggal dalam kumpulan B40 serta pelajar IPT sepenuh masa.

“Namun, pada 16 Februari 2021, SSM telah menambah baik skim ini untuk diperluaskan kepada semua golongan usahawan kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa. Skim ini tidak lagi terhad kepada golongan belia, ibu tunggal serta pelajar sahaja seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, SPPP bukan sahaja dapat menarik minat golongan yang terkesan untuk menceburi bidang perniagaan tetapi dapat membantu mereka menerokai bidang perniagaan yang berpotensi untuk menjana pendapatan.

Menurut Nor Azimah, SSM menjangkakan seramai 180,000 usahawan kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa akan memanfaatkan skim ini untuk menceburi bidang perniagaan.

“Sejak SPPP diperkenalkan sebanyak 4,447 permohonan telah diluluskan merangkumi perniagaan milikan tunggal dan perkongsian,” katanya.

Tambahnya, sebagai galakan kepada orang ramai untuk menceburi bidang perniagaan dan memanfaatkan SPPP, SSM turut menganjurkan Program Bimbingan Usahawan 2021 (PBU21).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: