KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus memperkasakan kerjasama dengan Cyber Security Malaysia (CSM) termasuk pakar-pakar teknologi maklumat (IT) dalam meningkatkan sistem keselamatan Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 bagi memastikan ia tidak dibolosi.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia susulan terdapat aduan beberapa pihak mendakwa bahawa CIMS 3.0 telah dibolosi dan mendapat kelulusan walaupun berada di bawah sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.
“MITI terbuka kepada sebarang bentuk aduan mahupun kritikan mengenai sistem CIMS 3.0 demi menjamin ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan sistem ini.
“MITI melalui unit penguatkuasaan bersama dengan kerjasama agensi penguatkuasa yang lain akan terus memantau dan mengawal pelaksanaan SOP PKP 3.0,” katanya dalam Taklimat Media Mengenai Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 di sini pada Khamis.