PUTRAJAYA – Sebanyak 89.4 peratus atau 109,806 daripada 122,328 panggilan diterima menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial sejak Januari lalu berkait rapat dengan isu psikologi yang dihadapi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata antara masalah yang diterima adalah kehilangan punca pendapatan, hilang tempat bergantung, pergaduhan dengan ahli keluarga serta masalah rumah tangga.
“Isu psikologi ini perlu diberi perhatian ketika menghadapi ancaman wabak COVID-19 ini. Umum mengetahui bahawa perasaan cemas, gemuruh serta sedih ketika menghadapi tekanan adalah sebahagian dari kehidupan terutamanya ketika berhadapan pandemik COVID-19 ini.
“Namun keadaan tekanan ini akan menjadi masalah jika ianya berpanjangan atau menjejaskan fungsi harian individu terbabit. Segeralah dapatkan penilaian psikiatri jika ini berlaku.
“Perlu diingatkan bahawa kesihatan mental adalah sama pentingnya dengan kesihatan fizikal serta pencegahan pada peringkat awal dapat membantu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain memerlukan sokongan emosi dan kaunseling, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 6,183 panggilan yang diterima dalam talian berkenaan juga memerlukan maklumat mengenai COVID-19.
“Selain itu 2,660 panggilan mengenai isu perhubungan keluarga; aduan umum (2,526 panggilan ) serta 453 panggilan memerlukan bantuan asas,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, berikutan itu Kementerian Kesihatan (KKM) mewujudkan beberapa inisiatif dalam menangani gejala tekanan yang dihadapi oleh masyarakat.
“Inisiatif yang diambil merangkumi jalinan kerjasama dengan MERCY Malaysia dalam memberikan perkhidmatan talian bantuan sokongan psikososial yang berpusat di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).
“Talian berkenaan dikendalikan oleh pegawai psikologi kaunseling KKM serta dibantu oleh sukarelawan pegawai psikologi daripada agensi dan badan bukan kerajaan yang lain.
“Selain itu, KKM turut bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan mewujudkan talian bantuan masing-masing iaitu KSK Care (JAKIM) dan Talian KASIH.
“Di peringkat lapangan seperti hospital dan klinik kesihatan, Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial atau MHPSS turut disediakan untuk kumpulan sasar merangkumi pesakit bawah pemantauan, pesakit COVID-19 yang dimasukan ke hospital, petugas kesihatan dan agensi lain yang bertugas menangani COVID-19” katanya.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut menasihatkan masyarakat beberapa langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan impak psikologikal.
“Mengenal pasti punca kebimbangan dengan mendapatkan maklumat yang tepat dan betul dan elakkan stigma serta melabel secara negatif mereka yang dijangkiti COVID-19 kerana ia boleh menimbulkan diskriminasi serta menghalang orang ramai untuk mendapatkan saringan dan rawatan.
“Selain itu pastikan penjagaan diri yang baik bagi mengekalkan tahap kecergasan yang optimum serta mendapat ketenangan jiwa; pastikan komunikasi berterusan dengan keluarga dan rakan walaupun terpaksa dikuarantin di mana ia boleh dilakukan secara atas talian atau media sosial dan segeralah mendapatkan khidmat kaunseling jika perlu kerana sokongan emosi serta mental adalah amat penting.
“Dan terakhir perlu sentiasa peka terhadap perubahan diri serta individu yang memerlukan sokongan, disamping mengamalkan sikap saling bantu membantu,” katanya.