KUALA LUMPUR – Pertikaian Malaysia terhadap langkah Kesatuan Eropah (EU) membolot bekalan tiada kaitan dengan kelulusan eksport vaksin.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata Malaysia menerima lebih empat juta vaksin dari kilang di Belgium, selepas menjelaskan bayaran mengikut harga yang dipersetujui.
Katanya, EU tidak mengenakan sekatan eksport terhadap penghantaran bekalan vaksin yang dibeli oleh Malaysia.
“Saya rasa dia tidak faham apa yang saya sebut. Saya bukan cakap tentang vaksin yang kita beli dari Belgium dan memang sudah dapat lebih empat juta.
“Itu vaksin yang kita beli. Malaysia sudah bayar pun. Saya sebut tentang pembelian vaksin EU sehingga melebihi keperluan penduduk mereka, menjangkau ratusan juta dos.
“Itu maksud saya. Bukan sekatan vaksin yang kita sudah beli. Saya berterima kasih kepada EU kerana tidak sekat perolehan vaksin berkenaan.
“Bila dia bagi jawapan sebegitu, (seolah-olah) saya cakap tentang durian, dia cakap pasal rambutan,” katanya selepas meninjau program imunisasi bagi ibu mengandung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.