PETALING JAYA: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menjalani kuarantin kendiri di rumah sejak 4 Ogos lalu selepas dua kakitangannya positif Covid-19.
Khalid berkata, pada mulanya beliau membuat ujian kendiri Covid-19 RTK-Ag selepas mendapat tahu seorang kakitangannya positif sementara keputusannya negatif.
Pengarah Komunikasi Amanah itu berkata, beliau mengambil keputusan menjalani ujian kendiri Covid-19 kali kedua selepas mendapati seorang lagi kakitangan pejabat Parlimennya positif semalam.
“Bila seorang lagi kakitangan saya beritahu yang dia positif (Covid-19), saya buat ‘self-test’ lagi sekali semalam juga. ‘Self-test’ itu saya dapati positif. Tetapi oleh kerana ‘self-test’ itu tidak begitu tepat, itu yang saya pergi buat PCR,” katanya.
Khalid memaklumkan hasil keputusan PCR diterimanya hari ini didapati negatif.
“Saya kini dalam keadaan baik (tiada sebarang gejala) dan sedang kuarantin di rumah, keputusan PCR hari ini saya negatif pula.
“Saya akan terus kuarantin di rumah,” katanya.