Hulu Langat – Munawwareen Holdings Sdn Bhd bersama Kerajaan Selangor menyumbang sebanyak 40 buah basikal elektrik e-bike kepada Polis Selangor untuk memantau pesisir laut negeri bagi mengekang pencerobohan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Dalam pada itu, e-bike turut digunakan ketika fasa pasca banjir bagi melakukan tinjauan dan bantuan kepada perkampungan yang sukar diakses dengan kenderaan biasa.
Pengarah Eksekutif Munawwareen, Datuk Mohamad Azri Abdul Rahman menjelaskan basikal e-bike ini mempunyai persamaan keupayaan yang sesuai untuk taktikal dan mampu bergerak dalam apa jua bentuk muka bumi di Malaysia.
“e-bike ini diimport dari China dan ada digunakan juga oleh unit keselamatan negara lain.
“Ianya berkapasiti sehingga 80km sejam dan mampu menjangkau sehingga 100 kilometer jarak perjalanan di semua keadaan muka bumi dalam mod senyap” jelasnya.

Tambahnya lagi, e-bike tidak memerlukan penggunaan petrol dan sangat sesuai bagi kawasan pedalaman kerana hanya bergantung kepada penggunaan bateri yang dicas selama 3 jam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Supt Rizal Mohamed memaklumkan sebanyak 10 buah e-bike diperuntukkan bagi markas operasi taktikal PDRM Sungai Tekali yang keseluruhannya digunakan bagi tinjauan banjir di kawasan pedalaman Hulu Langat.
“Saya amat berharap penggunaan e-bike dapat diperluaskan untuk seluruh unit keselamatan di Malaysia kerana ianya sangat praktikal lebih-lebih lagi pada kawasan terjejas teruk banjir”.
“e-bike ini mudah alih serta ringan tetapi mempunyai kepantasan dan kekuatan seperti motosikal dan boleh digunakan di kawasan pesisir pantai, lumpur tebal, berbukit dan sebagainya” tambahnya lagi.
Sementara itu, basikal elektrik ini ditempatkan di 18 pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di seluruh negeri Selangor.