Terkini

Kerajaan pertimbang kembalikan GST

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST), sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam wawancara khas bersama kumpulan media, Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata, GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara.

Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri ketiga negara sejak PRU14 pada 2018 mengakui kerajaan mempertimbangkan beberapa tindakan ekonomi yang mungkin dilihat pengguna sebagai menambah beban kos sara hidup mereka, iaitu memperkenalkan semula GST.

“Kerajaan berminat mengembalikan GST kerana mahu mengembangkan asas pendapatannya dan menanggung beban subsidi awam,” katanya.

Malaysia beralih kepada rejim GST semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada April 2015, namun kadar enam peratus dikritik hebat pembangkang dan kumpulan pengguna, sekali gus dikatakan antara penyumbang kepada kekalahan parti itu dalam PRU14.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih pentadbiran selepas PH menerajui kerajaan, membatalkan GST sebagai memenuhi janji pilihan raya dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Ismail Sabri berkata, kerajaan sedar mengenai persepsi negatif terhadap GST, tetapi mempunyai pilihan terhad untuk menambah tabungan kerajaan persekutuan.

“Kerajaan kehilangan RM20 bilion (kira-kira AS$4.6 bilion) hasil tahunan apabila GST dimansuhkan dan menggantikannya dengan SST. Tiada negara di dunia yang kembali daripada GST kepada SST, kecuali Malaysia,” katanya dalam temubual itu.

Beliau berkata, kerajaan akan merangka cara untuk mendidik orang ramai mengenai kepentingan GST dan kutipan cukai yang telus.

“Jika kita mahu memperkenalkan semula GST, kita perlu mendidik rakyat untuk menerimanya,” katanya sambil menambah kerajaan akan menyasarkan untuk kadar tidak terlalu tinggi sehingga membebankan rakyat, tetapi tidak terlalu rendah sehingga menggagalkan tujuan mengembangkan hasil cukai.

Bank Negara (BNM) baru-baru ini menyokong idea mengembalikan semula GST kerana dengan berbuat demikian akan meringankan beban kewangan ditanggung kerajaan.

Pencerobohan Russia ke atas Ukraine menaikkan harga bahan api dan barangan keperluan makanan import sekali gus berkemungkinan menjejaskan kewangan kerajaan serta meningkatkan keperluan untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan.

Jumlah subsidi bahan api kerajaan dijangka RM28 bilion (AS$6.4 bilion) tahun ini, peningkatan mendadak daripada hanya RM11 bilion pada 2021 berikutan lonjakan harga bahan api global.

Harga minyak mentah dunia melonjak kelmarin selepas Kesatuan Eropah (EU) mencapai persetujuan untuk menyekat import Russia sebagai sebahagian hukuman terhadap pencerobohannya ke atas Ukraine. Harga minyak mentah Brent berada di atas AS$122 setong buat kali pertama dalam tempoh dua bulan.

Selain petrol dan diesel, kerajaan juga memberi subsidi untuk minyak masak, gula, tepung dan gas asli cecair.

Mengulasnya mengenainya, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedang mengusahakan program rasionalisasi subsidi bertujuan menyediakan bantuan disasarkan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, dengan pelan komprehensif akan dikemukakan kepada Kabinet untuk pertimbangan dalam tempoh terdekat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: