Kuala Lumpur – Seperti yang ramai sedia maklum, Mr. DIY sebelum ini telahpun menampilkan beberapa konsep cawangan yang berbeza iaitu Mr. DIY Express, Mr. Dollar dan Mr. Toy. Ketiga-tiganya memfokuskan kepada sasaran pengguna yang berbagai di samping memenuhi permintaan pembelian yang disesuaikan dengan minat dan keperluan pengguna.
Terbaru, cawangan pertama MR. D.I.Y. PLUS telah dirasmikan hari ini yang bertempat di Mid Valley Megamall dengan menawarkan lebih 20,000 jenis produk dalam lima kategori utama iaitu perkakasan, barangan kegunaan rumah dan perabot, elektrik, alat tulis, dan produk kelengkapan sukan termasuk permainan, aksesori kereta, barang kemas, kosmetik, produk makanan dan minuman, serta produk penjagaan diri.
Kedai berkeluasan 30,000 kaki persegi menempatkan ruang pameran yang variasi bagi memudahkan pemilihan barangan.
Ketua Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y. Alex Goh berkata, “Para pelanggan kini bijak dan berpengetahuan. Mereka mahukan nilai, kemudahan sebuah kedai sehenti, dan manfaat daripada pengalaman membeli-belah yang menarik serta menyeronokkan. MR D.I.Y. PLUS menawarkan semua ini dalam satu ruang yang menghiburkan – maka tidak hairanlah lebih 200,000 pelanggan telah mengunjungi kedai ini pada bulan pertama sejak pembukaannya pada 19 Mei 2022.”
Beliau turut menambah, MR. D.I.Y. PLUS ini dibangunkan berdasarkan maklumat dan maklum balas pelanggan yang dikumpul oleh MR D.I.Y. sebagai sebahagian daripada proses penyelidikan pelanggan dan analisis data yang berterusan.
“Kajian kami menunjukkan pasca pandemik pelanggan mahukan lebih lagi jaminan barangan harga
terendah dan dengan cara yang baru, menyeronokkan serta interaktif – mereka mahukan sesuatu yang menghiburkan. Ia menjanjikan para pelanggan bahawa mereka bukan sahaja dapat membeli barangan keperluan harian, tetapi juga boleh menikmati pengalaman yang menyeronokkan, selain memperoleh pengetahuan dan inspirasi sepanjang proses membeli-belah,” jelasnya.
Bersempena acara pembukaan rasmi ini, satu siri aktiviti dan promosi dijalankan dari 1 hingga 3 Julai 2022 bagi para pelanggan menikmati pengalaman membeli belah baru.