Terkini

32 Pelajar tajaan Yayasan Peneraju catat keputusan semua A dalam SPM

Kuala Lumpur – Sesi pembelajaran yang tergendala selama dua tahun akibat pandemik COVID-19, tidak menghalang 32 pelajar tajaan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) di bawah program Peneraju Tunas Geliga mencatatkan keputusan semua A bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diumumkan baru-baru ini. Ini merupakan satu pencapaian cemerlang dan menyaksikan peratusan calon memperoleh keputusan semua A meningkat sebanyak 5.9% berbanding tahun lalu.


Secara keseluruhannya, seramai 179 penerima faedah program Peneraju Tunas Geliga menduduki SPM 2021 dan daripada jumlah itu seramai 133 calon (74.3%) berjaya memperoleh 5A ke atas dan 166 calon (92.7%) memperoleh minimum PNGK 3.00.


Ahmad Harris Ahmad Farouk

Ahmad Harris Ahmad Farouk, anak kelahiran Kuala Lumpur dan merupakan anak kedua dari empat adik-beradik, berjaya mencatatkan pencapaian terbaik 11A (10A+, 1A) dala semua mata pelajaran dan menghadiahkan kejayaannya itu kepada kedua ibu bapa dan guru-guru di SBPI Gombak yang sentiasa menyokong perjalanan akademik beliau. Ahmad Harris berkata antara formula kejayaannya termasuk memberikan tumpuan penuh semasa guru mengajar, rajin bertanya dan sering melakukan ulangkaji terutama pada waktu pagi kerana pada waktu itu lebih mudah untuk mengingati segala pembelajaran.

Ahmad Harris berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Aeronautik kerana minatnya yang mendalam dalam industri penerbangan.

Penerima faedah yang turut mendapat kejayaan cemerlang termasuk pasangan kembar, Anis Sofia Zolkharnain dan Anis Soleha Zolkharnain dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar dengan keputusan 9A+ bagi kesemua mata pelajaran. Walau berjauhan dengan keluarga, itu tidak menjadi penghalang, malah menjadi kekuatan untuk memperoleh kejayaan yang kelak menjadi kenangan manis untuk dikongsi bersama.


“Saya berharap dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan seterusnya untuk menjadi seorang pakar dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai impian saya,” kata Anis Solehah.


Sementara itu, kembarnya Anis Sofiah berkata “Saya jarang mengikuti tuisyen tambahan cuma hanya mengikuti kelas yang dilaksanakan samada secara PDPR atau PDPC. Apa yang penting, sentiasa fokus di dalam kelas dan selalu melakukan latih tubi”.


Farhah Nadhirah Abdul Rahim

Farhah Nadhirah Abdul Rahim dari Beaufort, Sabah, turut memperoleh keputusan cemerlang 9A dan percaya dengan disiplin diri, azam dan matlamat untuk berjaya. Farhah berhasrat untuk menyambung pembelajaran dalam bidang perubatan dan bercita-cita untuk menjadi seorang doktor pakar kanser.

“Dari sekolah rendah lagi saya memang ingin menjadi doktor pakar. Realitinya, pakar perubatan di negara kita, terutamanya di Sabah masih kurang,” tambah Farhah.

Program Peneraju Tunas Geliga adalah program biasiswa yang ditawarkan kepada lepasan UPSR dari keluarga B40 dan latar belakang mencabar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) terpilih.

Sementara itu, di bawah program Peneraju Tunas Azam, seramai 17 daripada 19 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2021 layak mendapat sijil SPM. Program Peneraju Tunas Azam adalah Program Bantuan Akademik Murid (PBAM) dan Program Pemupukan dan Pembangunan Murid (PPPM) yang menyasarkan murid-murid yang berada di rumah kebajikan atau rumah anak yatim yang bekerjasama dengan Yayasan Peneraju.

Mengulas mengenai prestasi SPM 2021, YB Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) berkata, “Saya berbangga dengan pencapaian semua penerima faedah program Peneraju Tunas Geliga dan Tunas Azam yang memperoleh keputusan cemerlang bagi peperiksaan SPM 2021. Mereka telah membuktikan bahawa kerja keras, iltizam, semangat kental dan tidak mudah berputus asa menjadi kunci kepada kejayaan walaupun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran sewaktu pandemik sepanjang dua tahun lalu”.

“Dengan adanya program pembiayaan pendidikan seperti ini, saya percaya ianya mampu memberi harapan baru kepada golongan terpinggir peroleh pendidikan yang terbaik demi mengubah hidup mereka ke arah masa depan yang lebih cerah,” tambah beliau.

Yayasan Peneraju, sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), telah diberi mandat untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera dalam sektor berpendapatan tinggi menerusi program-program pembiayaan akademik, pensijilan TVET, profesional, teknologi dan spesialis.


Sejak penubuhannya 10 tahun lalu, Yayasan Peneraju telah merealisasi aspirasi lebih 46,000 bakat dari seluruh Malaysia melalui lebih 370 program pembiayaan dalam pelbagai bidang dan membekalkan tenaga kerja berkualiti kepada industri yang mempunyai permintaan tinggi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: