Terkini

Kerajaan sedia subsidi tambahan sebanyak RM1b untuk ayam, telur

Kuala Lumpur – Kerajaan menyediakan RM1 bilion subsidi tambahan untuk ayam dan telur bagi tempoh dua bulan iaitu sehingga Ogos ini bagi membantu rakyat menangani cabaran kos sara hidup.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan turut menyediakan bantuan tunai tambahan RM630 juta yang sudah dibayar kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia bermula Isnin lalu.

“Merujuk kepada pengumuman Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) semalam mengenai subsidi ayam dan telur, peruntukan subsidi bagi tahun ini ditambah sebanyak RM370 juta bagi Julai dan Ogos, menjadikan unjuran perbelanjaan subsidi bagi tahun ini adalah sebanyak RM77.7 bilion.

“Bagi tempoh lima bulan iaitu Februari hingga Jun, kerajaan menyediakan peruntukan sekitar RM730 juta bagi menampung subsidi harga ayam dan telur.

“Hakikatnya, kerajaan sentiasa meningkatkan bantuan dan subsidi kepada rakyat untuk membantu menangani cabaran kos sara hidup.

“Kerajaan akan terus melaksanakan pemberian subsidi dan bantuan tunai bagi melindungi rakyat daripada beban kenaikan kos sara hidup,” katanya memetik Berita Harian.

Menerusi perkongsian data, Tengku Zafrul berkata, harga ayam di Thailand bagi berat sekitar 1.2 kilogram (kg) hingga 1.4 kg dijual dengan harga RM11.65, manakala Indonesia (RM12.44), Brunei (RM14.65), Singapura (RM24.25), Filipina (RM16.59) dan Vietnam (RM23.09 bagi 1.2kg hingga 1.4 kilogram).

Beliau berkata, tekanan inflasi tahun ini adalah fenomena global yang mana harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$100 (RM440.75) satu tong sejak hujung Mac lalu.

“Gangguan rantaian bekalan dunia yang menjejaskan bekalan baja dan makanan ternakan menyebabkan fenomena ini meningkatkan harga makanan dengan mendadak.

“Sebagai negara ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada tekanan inflasi global. Ini bermakna, kenaikan harga barangan tidak boleh dielak sepenuhnya,” katanya.

Memperincikan mengenai kenaikan inflasi, Tengku Zafrul berkata, kadar inflasi di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom mencecah sembilan peratus, Thailand (tujuh peratus) dan Singapura serta Filipina melebihi lima peratus.

Berdasarkan simulasi Jabatan Perangkaan Negara, katanya, kadar inflasi Malaysia bagi Mei boleh mencecah sehingga 11.4 peratus namun dasar subsidi membantu membendung inflasi di negara ini pada tahap 2.8 peratus.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: