Kuala Lumpur – Sikap orang Kelantan yang suka merantau menyebabkan mereka memilih untuk tidak bekerja dalam negeri itu, walaupun peluang tersebut banyak.
Demikian pandangan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyifatkan masalah itu tidak hanya berlaku di negeri tersebut semata-mata.
Beliau berkata, sebaliknya situasi sama turut melibatkan kawasan-kawasan lain termasuklah Malaysia apabila satu kajian mendedahkan lebih 500,000 rakyat bekerja di luar negara.
Justeru, katanya, kerajaan negeri akan cuba mencari jalan untuk menggalakkan anak-anak Kelantan bekerja di negeri sendiri.
“Ini semua disebabkan sikap dan jika ada keperluan kita akan bina satu platform untuk memberi maklumat kepada rakyat bagi menarik minat mereka bekerja di negeri sendiri,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian dalam Program Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Kelantan anjuran bersama Dewan Usahawan Kelantan, Dewan Perniagaan Cina Kelantan dan Kerajaan Kelantan, malam tadi.
Beliau menjawab persoalan mengenai peluang pekerjaan yang dilihat kurang di Kelantan sehingga menyebabkan rakyat di negeri ini berhijrah keluar ke tempat lain.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sikap suka merantau juga boleh dilihat dalam bidang pendidikan sebagai contoh di kampungnya di Panchor, walaupun ada kemudahan sekolah di kawasan itu tetapi ramai memilih untuk belajar di Kota Bharu.
Katanya, begitu juga dengan kemudahan institusi pendidikan di Kelantan seperti Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, namun rakyat dilihat lebih suka belajar di Kuala Lumpur.
“Sebagai contoh dalam bidang perladangan banyak peluang pekerjaan macam syarikat kelapa sawit dan gaji agak tinggi tapi rakyat Kelantan tidak berminat sehingga terpaksa menggunakan tenaga kerja warga asing,” katanya.