Kuala Lumpur – Keputusan permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai Barisan Nasional (BN) akan dibincang terlebih dulu dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadual diadakan pada minggu hadapan.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata keputusan mengenainya akan dibuat oleh kepemimpinan BN secara konsensus.
Katanya, pihaknya sudah menemui bakal Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin pada awal bulan lalu mengenai hasrat parti itu menyertai BN dan menyatakan ia bukan diputuskan oleh seseorang.
“Saya baca laporan media bahawa mereka sudah hantar surat. Tunggulah mesyuarat Dewan Tertinggi BN kerana perbincangan akan diadakan pada mesyuarat itu.
“Semua pihak iaitu Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mesti bersetuju, jika ada kalangan pemimpin parti yang tidak bersetuju, ia tidak akan boleh diluluskan,” katanya memetik Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan PBM telah menghantar permohonan untuk menyertai BN tiga minggu lalu.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau, berkata bukan sahaja PBM, terdapat juga beberapa parti kecil turut memohon untuk menyertai BN namun meminta mereka menjadi rakan BN terlebih dulu.
“Kebanyakan parti kecil itu tiada dari kalangan mereka yang menjadi wakil rakyat atau Ahli Parlimen berbanding PBM.
“Oleh itu, pertimbangan dari pelbagai sudut perlu diperhalusi kerana kita tidak mahu pihak-pihak lain merasa tidak senang hati jika kita menerima sesuatu parti masuk sebagai anggota BN,” katanya.
Katanya, biarpun bagi Umno bersikap terbuka mengenai perkara berkenaan, BN adalah gabungan parti yang berbeza latar belakang dan mempunyai hala tuju masing-masing.
“Saya tidak boleh memberikan jawapan kerana ia adalah keputusan empat parti yang mempunyai latar belakang dan pemahaman masing-masing,” katanya.