Kuala Lumpur – Bekalan air di 188 kawasan terjejas di Wilayah Hulu Selangor dijangka pulih sepenuhnya pada jam 8 pagi, Khamis ini.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan, berkata kelewatan itu adalah disebabkan oleh isu-isu teknikal di tapak kerja.
“Kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air Sungai Rasa (LRA Sg Rasa) telah siap dilaksanakan pada jam 5.30 pagi tadi.
“Berikutan itu, bekalan air dijangka akan mula disalurkan kepada para pengguna bermula jam 8 pagi, 10 Ogos secara berperingkat-peringkat apabila sistem agihan bekalan air telah distabilkan,” menurut kenyataan itu.
Justeru, Air Selangor memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang dialami oleh pihak pengguna dan akan berusaha memastikan proses pemulihan bekalan di 188 kawasan yang terjejas berjalan lancar.
“Air Selangor akan terus menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook,Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai pertanyaan dan aduan boleh menghubungi di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.