Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) meneruskan projek MARA Digital bagi membuka peluang kepada anak muda Bumiputera membabitkan diri sebagai usahawan teknologi maklumat (IT).
Menurutnya, MARA Digital sangat dekat di hatinya dan ia diwujudkan bagi membangunkan usahawan Bumiputera dalam bidang IT dan gajet samada menjual produk, repair dan lain-lain.
“Beberapa MARA Digital telah diwujudkan seperti di Shah Alam, Kuantan, Ipoh dan beberapa tempat yang telah dikenalpasti seperti di Larkin Johor, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kuching serta Kota Kinabalu.
“Namun, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan, MARA Digital telah ditutup dan projek baru tidak diteruskan.
“Saya telah mengarahkan MARA untuk meneruskan projek MARA Digital ini bagi membuka peluang kepada anak muda bumiputera terlibat sebagai usahawan IT yang merupakan trend terkini dan masa depan,” katanya di Facebook.
Terdahulu, beliau melakukan tinjauan mengejut di MARA Digital Kuala Lumpur yang turut disertai Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.
“Alhamdulillah dalam tinjauan peniaga memaklumkan masih mampu untuk meneruskan perniagaan kerana jualan semakin meningkat, cuma memerlukan sokongan dari MARA seperti promosi, bantuan pinjaman, pengurangan kadar sewa dan lain-lain,” katanya.
Projek MARA Digital sebagai pusat jualan peralatan telekomunikasi dan IT dicetuskan oleh Ismail Sabri pada 2015 yang ketika itu adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.