Terkini

KKM mohon peruntukan kesihatan awam ditingkatkan 5% dari KDNK

Kuala Lumpur – Kementerian Kesihatan (KKM) memohon peruntukan perbelanjaan kesihatan awam ditingkatkan kepada 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi memastikan Malaysia mempunyai sistem kesihatan awam bertaraf dunia di masa hadapan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata di negara yang berpendapatan sederhana tinggi, penanda aras peruntukan bagi perbelanjaan kesihatan awam adalah antara empat hingga 5% dari KDNK.

Namun Malaysia, katanya hanya memperuntukkan 2.59% dari KDNK untuk perbelanjaan kesihatan awam, sekali gus menyebabkan ramai mengeluh dan mengadu berhubung tempoh yang lama diperlukan bagi mendapatkan perkhidmatan seperti pengimejan resonans magnetik (MRI) atau imbasan tomografi berkomputer (CT) di hospital kerajaan.

“Saya tahu semua kementerian minta duit (peruntukan) daripada Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) dan semua sama penting, tetapi ada juga kementerian yang lebih penting daripada kementerian lain. Kementerian ini (KKM) adalah lebih penting daripada yang lain sebab tugas teras kita (KKM) adalah nyawa tentang hidup dan mati.

“Satu angka sahaja saya nak Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) ingat iaitu lima. Bukan RM5 bilion, bukan RM5 juta tetapi 5% dari KDNK negara kita,” katanya ketika berucap pada Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 hari ini.

Persidangan bertemakan “Masa Hadapan Perkhidmatan Kesihatan Melalui Pembangunan Kertas Putih Kesihatan” itu dirasmikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob

Sementara itu, Khairy berkata segala dasar dan program yang memberi manfaat jangka masa panjang kepada rakyat tidak pernah terjejas atau terganggu meskipun kerajaan di bawah kepimpinan Ismail berdepan berbagai spekulasi mengenai pilihan raya umum (PRU).

Ini kerana dalam tempoh setahun mentadbir, beliau berkata banyak pencapaian telah diraih oleh  pentadbiran perdana menteri termasuk kejayaan mengawal pandemik Covid-19 serta penggubalan beberapa undang-undang yang dilihat penting untuk generasi masa sekarang dan akan datang.

Penggubalan undang-undang itu antaranya berhubung Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 (AGS 2021) yang baru diluluskan selepas lebih 10 tahun dirangka, serta RUU anti lompat parti yang dilihat bakal membawa kestabilan dan integriti dalam politik.

“Dalam bidang kesihatan pula, perdana menteri telah beri sokongan kepada saya untuk membawakan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 serta kini turut memberi restu kepada KKM untuk membawakan satu Kertas Putih Kesihatan bagi mentransformasikan sistem kesihatan negara.

“Ini bermakna walaupun kita adalah kerajaan yang masanya tidak lama tetapi sebenarnya telah berjaya membawa pembaharuan jauh ke depan,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: