KUALA LUMPUR – Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat (PPZ) mengadakan kempen pengambilan pekerja untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia di samping faedah lain sebagai sebahagian daripada program komuniti #KitakanJiran.
Berlangsung di Masjid Ar-Rahiman, Kampung Pandan, usaha ini merupakan sesi pengambilan pekerja yang pertama dijalankan oleh Lotus’s Malaysia bersama PPZ. Dengan lebih daripada 200 kekosongan di stor, Lotus’s Malaysia menawarkan peluang pekerjaan sepenuh masa atau separuh masa dan 5 hari waktu bekerja seminggu untuk 64 cawangannya di seluruh Semenanjung Malaysia kepada warganegara melalui Mini Karnival Lotus’s bersama PPZ.
Selaras dengan tema Merdeka Lotus’s Malaysia iaitu ‘Bangga Melangkah Bersama’, kempen ini memberi peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup dan maju bersama-sama sebagai sebuah komuniti. Ini termasuk warga emas dan orang kurang upaya yang sering tidak dipertimbangkan untuk pekerjaan. Lotus’s juga telah memperkenalkan program pengambilan pekerja untuk orang dalam parol di pusat pengedarannya agar mereka dapat menjadi ahli masyarakat yang produktif dan berkhidmat kepada komuniti.

“Dengan 5 hari bekerja seminggu serta faedah-faedah kerja yang lain, kami berharap ini akan menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk menjadi sebahagian dari Kru Ceria Lotus’s kami. 200 kekosongan akan diisi di seluruh stor kami dan pasti akan membantu kami untuk terus memberi pelanggan kami pengalaman membeli-belah yang ceria apabila mereka datang ke stor kami.
Rakan sekerja baru kami juga akan diberikan latihan dan pembangunan kerjaya sepanjang mereka bersama kami,” kata Alvin Low, Ketua Sumber Manusia Lotus’s Malaysia.
Low juga mengatakan bahawa semua orang berhak mendapat peluang yang sama untuk mencari punca rezeki. Ageisme dan ableism malangnya merupakan kejadian yang biasa di tempat kerja, dan sebagai sebuah organisasi yang inklusif, Lotus’s mengalu-alukan warga emas dan orang kurang upaya untuk menyertai tenaga kerjanya kerana tiada had fizikal dalam potensi pertumbuhan dan kemajuan diri.

Karnival mini ini turut dimeriahkan dengan sesi bual bicara, aktiviti yang menyeronokkan, pemeriksaan kesihatan percuma bersama Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) dan kaunter Zakat bergerak daripada PPZ di mana orang ramai boleh berkunjung untuk sebarang pertanyaan.
Kempen pengambilan pekerja Lotus’s akan terus berlangsung di wilayah tengah, utara dan selatan Semenanjung Malaysia mulai 25 Ogos 2022. Stor-stor yang mengambil bahagian termasuk Lotus’s Kepong, Lotus’s Ara Damansara, Lotus’s Kajang, Lotus’s Tanjung Pinang, Lotus’s Penang E-Gate, Lotus’s Seberang Jaya, Lotus’s Melaka, Lotus’s Nilai, dan Lotus’s Desa Tebrau. Temuduga secara walk-in diterima dan semua calon yang ditemuramah boleh mengambil bahagian dalam acara ‘spinning the wheel’ untuk menikmati hadiah-hadiah menarik.