Sukan

Dato Pandalela Rinong umum koleksi NFT ‘P.ZERO1’

Kuala Lumpur – Atlet kebangsaan, Dato Pandelela Rinong mengumumkan koleksi NFT eksklusifnya ‘P.Zero1’ melalui syarikat pengurusannya, Knight Communications dengan kerjasama Prime Sports NFT – bahagian NFT di bawah Prime Sports International (PSI). Bermula hari ini sehingga 31 Ogos, koleksi NFT tersebut tersedia untuk lelongan melalui pasaran NFT digital, OpenSea. Para peminat akan mempunyai peluang membuat bidaan bagi menjadi pemilik tunggal NFT yang menawar pengalaman peribadi tidak ternilai dengan Pandelela dan cetakan berbingkai NFT yang akan dihantar sendiri oleh atlet itu.

Tertarik dengan industri NFT yang kian berkembang di peringkat global, Pandelela terdorong untuk mencipta barisan karya seni digitalnya sendiri sebagai ekspresi perjalanan profesional dan peribadinya sebagai seorang atlet. “Visi saya untuk ‘P.Zero1’ adalah untuk berkongsi sebahagian kisah saya dengan dunia dan memberi penghormatan kepada sukan ini yang telah mengubah hidup saya secara drastik daripada seorang gadis kampung Bidayuh kepada seorang olahragawati yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pepatah ‘Zero to One’ mencerminkan perjalanan yang telah saya harungi – tentang nasib, ketabahan, kekuatan mental dan dedikasi yang telah membawa saya sejauh ini serta keseluruhan proses mencipta sesuatu yang sangat baharu. Ia adalah fasa yang menarik bagi saya dan ia mencabar saya untuk belajar dan mencuba perkara baharu. Seperti kata pepatah – hanya langit sebagai batasan dan mesej saya adalah agar orang ramai sentiasa berusaha untuk membuat penemuan diri dan terus berkembang dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap matlamat mereka.” kata Pandelela.

Jolene Knight, Pengasas dan Pengurus Jenama Knight Communications telah mengharungi perjalanan bersama Pandelela sebagai Pengurus Perniagaannya selama 7 tahun. “Saya telah melihat Lela berkembang daripada seorang wanita muda yang pemalu kepada seorang dewasa yang yakin dan berani yang sentiasa ingin tahu tentang dunia di luar sukan.

Terdapat banyak perkara untuk beliau pelajari dan begitu banyak peluang untuk diterokai bagi mencipta dan menubuhkan jenamanya sendiri – sesuatu yang boleh beliau banggakan. Ini adalah langkah pertamanya ke arah perkara yang lebih menarik.”

“Projek ini sudah berbulan-bulan dilaksanakan dan kami teruja untuk berkongsi ‘P.Zero1’ dengan rakyat Malaysia dan dunia. Memandangkan inovasi NFT terus berkembang di peringkat global, Pandelela dan saya teruja untuk menerokai ruang ini dengan matlamat untuk menyumbang secara positif dan memberi inspirasi kepada belia. Kami juga teruja untuk menganjurkan peluang sekali dalam seumur hidup ini untuk pemilik NFT untuk mempunyai pengalaman peribadi yang direka khusus dengan Pandelela”

Pengasas Prime Sports International (PSI), Yong-Chul Yun berkata “Memulakan perjalanan kreatif ini dengan seorang atlet prolifik seperti Pandelela adalah begitu bermakna. Misi kami adalah untuk memupuk proses kreatif antara atlet dan artis sambil membawa NFT ke pasaran untuk peminat. Kami menyokong teguh dalam menggalakkan hubungan yang lebih erat antara atlet dan peminat serta sentiasa mencari jalan untuk menginovasikan penglibatan ini.”

Kerjasama dengan Pandelela ini juga merupakan inisiatif kedua dan cetusan idea Prime Sports NFT yang bertujuan untuk menghubungkan dunia sukan, seni dan budaya. Berikutan kejayaannya baru-baru ini dengan koleksi NFT ‘SEPULUH’ bersama pemain bola sepak Safee Sali, Prime Sports NFT telah membuka langkah untuk terus bekerjasama dengan atlet, artis dan rakan kongsi di rantau ini untuk menjadi sebahagian daripada industri yang sedang meningkat ini.


Berasal dari Pulau Pinang, Nicholas Chuan merupakan artis digital di sebalik Pandelela ‘P.Zero1’ NFT yang turut membawa portfolio ilustrasi untuk organisasi terkenal dunia seperti UEFA, Red Bull Racing Formula 1, Liverpool FC dan FC Bayern dan terbaru legenda bola sepak Safee Sali’s iaitu ‘SEPULUH’ NFT.

“Saya berbangga kerana dapat sekali lagi mewakili dan bekerjasama erat dengan atlet terkemuka Malaysia seperti Pandelela. Di samping pencapaiannya, saya sentiasa mengagumi etika kerja, keazaman dan keberaniannya sebagai atlet wanita dan ingin menterjemahkan kisahnya yang menakjubkan dan nilai-nilai terasnya ke dalam ‘P.Zero1’. Saya harap peminat akan menikmatinya seperti mana saya menikmatinya”

Lelongan NFT ‘P.Zero1’ Pandelela akan disiarkan secara langsung dalam tempoh 7 hari bermula 24 Ogos hingga 31 Ogos 2022 melalui OpenSea. Peminat akan berpeluang membida untuk menjadi pemilik eksklusif NFT yang akan memberikan manfaat-manfaat yang menarik termasuk pengalaman peribadi yang unik bersama Pandelela dan cetakan berbingkai ‘P.Zero1’ yang akan diserahkan kepada pemilik NFT oleh atlet itu sendiri.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: