Kuala Lumpur – DatukSeri Dr Shahidan Kassim menegaskan beliau hanya akan menerima pelantikan sebagai Penaung merangkap Presiden pasukan bola sepak Kuala Lumpur City FC (KL City FC) selepas membuat semakan terhadap pasukan berkenaan.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berterima kasih atas lantikan itu seperti yang diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Khalid Samad semalam.
“Saya berterima kasih atas pelantikan sebagai Penaung merangkap Presiden KL City FC seperti yang diumumkan oleh Presiden KLFA YB Khalid Samad semalam.
“Bagaimanapun saya akan menerima jawatan tersebut setelah saya membuat semakan dengan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan KL City FC bebas dari sebarang isu.
“Ini bagi memastikan prestasi kelab bola sepak tersebut sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu Khalid dalam satu kenyataan semalam, mengumumkan Shahidan dilantik sebagai penaung dan Presiden KL City FC yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa.
Shahidan diumumkan akan bertindak sebagai penasihat dalam urusan berkaitan bola sepak untuk membawa kelab itu ke tahap lebih tinggi.
Menurut Khalid yang juga Ahli Parlimen pembangkang dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, pelantikan itu akan menjadi bukti perpaduan melalui bola sepak.
“Ini menunjukkan peranan sukan dan bola sepak khususnya merupakan wadah penyatuan iaitu orang yang berbeza fahaman politik seperti saya dan Shahidan boleh bersatu demi kemajuan bola sepak Kuala Lumpur.
“Saya percaya menerusi peranan Shahidan sebagai Presiden KL City FC, kami boleh bersama-sama membawa kelab ke tahap kejayaan lebih tinggi,” katanya.