KUALA LUMPUR – Ujian kemahiran bahasa Inggeris ‘International English Language Testing System’ (IELTS) yang diperlukan oleh mereka yang merancang untuk melanjutkan pengajian di luar negara, berpindah atau bekerja di luar negara, kini boleh diambil melalui IELTS on Computer (IoC) di British Council Kuala Lumpur, iaitu pusat ujian utama IoC yang baru dilancarkan pada 24 Ogos lalu semasa ‘IELTS Day 2022’.
Majlis pelancarannya yang dihadiri oleh rakan kongsi British Council, pihak-pihak berkepentingan, para pengambil ujian dan orang ramai, menampilkan lawatan ke makmal komputer IoC baharu untuk mencuba pengalaman ujian pengenalan IoC. Para hadirin diberi peluang untuk mencuba ujian sebenar dan mendapatkan keputusan mereka dalam ujian Mendengar dan Membaca secara percuma. Mereka juga dijemput menyertai bengkel untuk 4 kemahiran yang diuji oleh IELTS iaitu Mendengar, Membaca, Menulis dan Bertutur, dengan pelbagai tip dan teknik ujian, selain mendapatkan maklumat lanjut mengenai sumber-sumber persediaan yang disediakan oleh British Council.

Pusat utama IoC itu menawarkan lebih pilihan kepada para pengambil ujian kerana ia dibuka enam (6) hari seminggu dan mempunyai kapasiti yang boleh memuatkan 500 pengambil ujian setiap minggu. Mereka boleh mendapatkan keputusan dengan lebih cepat iaitu dalam masa tiga hingga lima hari selepas tarikh ujian apabila menduduki ujian IoC yang merupakan cara ujian IELTS yang paling popular ketika ini. Bilangan lokasi ujian IoC yang tinggi di seluruh negara menunjukkan bahawa hingga 78% rakyat Malaysia mengambil ujian IoC setakat bulan Julai 2022. Pilihan ini sangat menggalakkan dan menjadikan Malaysia salah satu daripada 3 negara dengan pilihan tertinggi untuk IELTS on Computer di seluruh rantau Asia Timur.
“Kami menyediakan kemudahan kepada para pengambil ujian supaya mereka tidak perlu pergi jauh untuk menduduki ujian IELTS, dan masa mereka boleh dimanfaatkan dengan membuat persiapan ujian untuk meraih markah yang baik. Pusat-pusat ujian IoC berada di lebih 10 bandar utama di seluruh negara, manakala ujian ‘IELTS on Paper’ (IoP) boleh didapati di 6 bandar utama di Malaysia,” kata Steve Adams, Pengarah Peperiksaan Asia Timur untuk British Council.
“Pusat ujian IoC di British Council di Kuala Lumpur dilengkapi dengan fasiliti moden dan peralatan audio canggih yang akan membantu para pengambil ujian menjalani ujian dengan yakin dan dalam suasana selesa.. British Council juga kini menyediakan akses percuma untuk persediaan pembelajaran kendiri dalam talian untuk para pengambil ujian IELTS yang dipanggil ‘Road to IELTS’, dengan 100 latihan, 9 video tutorial, webinar dan 2 ujian latihan bagi setiap satu ujian kemahiran Membaca, Menulis, Mendengar dan Bertutur, kata Jazreel Goh, Pengarah Malaysia British Council.

Para pengambil ujian yang ingin mendapatkan ijazah sarjana muda atau ijazah lanjutan dari mana-mana bidang pilihan di institusi pengajian tinggi juga boleh menyertai peraduan tahunan ‘British Council IELTS Prize’ dan memenangi biasiswa berjumlah MYR 45,000. Satu lagi biasiswa yang ditawarkan oleh British Council adalah biasiswa ‘GREAT’ dari kerajaan UK bernilai £10,000. Ia terbuka kepada para pelajar yang ingin menjalani kursus ijazah lanjutan selama setahun dari mana-mana universiti di UK.
Ujian British Council IoC boleh diambil di Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur, Subang Jaya, Petaling Jaya, Johor Bahru, Kuching, Sibu, Miri, Kota Kinabalu dan Melaka.