Kuala Lumpur – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) komited memudahcara pelaksanaan Permit Khas petroleum di semua peringkat peniaga dan pengguna seperti termaktub dalam Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata di bawah peruntukan AKB 1961, setiap stesen minyak mesti mempunyai lesen bagi membolehkan melakukan urusniaga petrol dan diesel.
Beliau berkata, antara syarat yang ditetapkan adalah mana-mana stesen minyak tidak dibenarkan menjual bahan api diesel dan semua gred petrol kecuali tangki asal kenderaan berkenaan atau yang telah diluluskan oleh agensi berkaitan dan mana-mana pihak yang mendapat kebenaran KPDNHEP.
“Bagi mengelakkan barang kawalan dan bersubsidi seperti petrol dan diesel diseleweng pihak tidak bertanggungjawab, syarikat berskala kecil, organisasi atau individu yang layak membeli bahan api berkenaan adalah dibenarkan dengan syarat memohon Permit Khas.
“Permohonan Permit Khas ini hanya perlu dibuat sekali sahaja untuk jangkamasa setahun dan bukannya untuk setiap pembelian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, bagaimanapun keperluan Permit Khas itu adalah bagi pembelian dengan kuantiti melebihi 20 liter ke atas sahaja, manakala bagi kuantiti kurang daripada 20 liter termasuk kes-kes kecemasan adalah dibenarkan dan tidak memerlukan Permit Khas.
“Kementerian juga memudahkan cara permohonan Permit Khas itu yang boleh dibuat atas talian melalui sistem Mysubdidi Permit Khas dipautan http://www.permitkhas.kpdnhep.gov.my atau hadir sendiri ke mana-mana Pejabat KPDNHEP berhampiran.
“Permit Khas ini adalah percuma dan tidak dikenakan apa-apa bayaran serta terbuka kepada semua pihak berkelayakan. Permohonan baru yang lengkap akan diproses dalam masa lima hari bekerja, manakala pembaharuan dalam masa tiga hari bekerja,” katanya.
Beliau berkata, pihak yang mendapat Permit Khas itu diberi kebenaran membeli petrol dan diesel menggunakan tong drum, plastik atau apa-apa bekas yang bersesuaian mengikut kuantiti harian yang diluluskan.
“Sehingga kini, antara pihak yang telah mendapat Permit Khas daripada KPDNHEP adalah pengguna forklift, sektor pertanian dan penternakan, pengusaha industri makanan, penduduk kawasan pendalaman, pengguna pengangkutan air untuk enjin bot serta nelayan separuh masa,” katanya.