Terkini

Tiada negara dapat sahkan lokasi Jho Low – KPN

Kuala Lumpur – Lokasi sebenar Low Taek Jho atau Jho Low masih tidak diketahui memandangkan tiada negara ahli Polis Antarabangsa (INTERPOL) yang dapat mengesahkan keberadaan penjenayah dikehendaki tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sehingga hari ini INTERPOL tidak memberi makluman balas walaupun Malaysia sudah memohon dan mendapatkan ‘red notice’ bagi mengesan Jho Low untuk dibawa ke muka pengadilan sama seperti dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Sekiranya mana-mana negara ahli mengesan keberadaan penjenayah dikehendaki, INTERPOL negara berkenaan bertanggungjawab menyalurkan maklumat kepada negara yang memperoleh ‘red notice’ bagi memohon proses ekstradisi.

“Setakat ini, permohonan ekstradisi ke atas Low Taek Jho tidak dapat dibuat memandangkan tiada negara ahli INTERPOL yang mengesahkan keberadaan suspek di negara mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.

Untuk rekod, Jho Low dikehendaki kerana bersekongkol dengan Najib dalam kes penyelewengan puluhan juta wang negara melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib sudah didapati bersalah dan dihukum penjara 12 tahun selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan, bagaimanapun Jho Low masih bebas dan tidak dapat didakwa lagi setakat ini.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata ‘red notice’ ialah kategori yang hanya boleh diakses oleh agensi penguat kuasa negara ahli INTERPOL memandangkan suspek terbabit tidak memudaratkan keselamatan awam, berdasarkan penilaian INTERPOL.

Dalam pada itu, katanya, PDRM juga sudah memfailkan 13 pertuduhan di mahkamah terhadap Jho Low walaupun tanpa kehadirannya (in absentia) membabitkan kes 1MDB.

Selain PDRM, beliau berkata, pihak berkuasa asing di Singapura dan Amerika Syarikat (AS) turut menjalankan siasatan terhadap Jho Low dan kedua-dua negara sudah memfailkan pertuduhan terhadapnya.

“Sehingga kini, usaha menjejaki Jho Low masih giat dijalankan dan segala maklumat yang diterima mengenai keberadaan suspek di negara asing, diteliti kesahihannya oleh PDRM, termasuklah menggunakan saluran kerjasama pihak berkuasa di negara berkenaan.

“PDRM amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung lokasi Jho Low dan boleh menyalurkannya melalui talian CCID Infoline 013-2111222 (WhatsApp sahaja) atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Jho Low didakwa masih bersembunyi di China dan perkara itu didedahkan penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World’, Bradley Hope menerusi episod pertama program ‘Di Mana Jho Low’ yang disiarkan di platform aplikasi video YouTube, 31 Ogos lalu.

Menerusi episod itu, Hope bersama seorang penulis, Tom Wright turut berkongsi sekeping gambar memaparkan Jho Low bersama dua individu tidak dikenali di sebuah restoran di Disneyland Shanghai.

Hope berkata, gambar didakwa bertarikh 24 Disember 2019 itu diterimanya daripada sumber boleh dipercayai.

Hope sebelum ini melancarkan kempen menjejak Jho Low dengan meminta orang ramai mengesan ahli perniagaan dalam buruan itu.

Jho Low berdepan saman AS$3.78 bilion atau RM16.82 bilion yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: