EDINBURGH, Scotland – Keranda mendiang Ratu Elizabeth II tiba di Edinburgh pada Ahad (11 Sep) selepas perjalanan kira-kira enam jam dari Istana Balmoral, di Scotland. Ribuan orang membanjiri jalan raya sepanjang laluan tersebut.
Di hujung perjalanan – yang melalui kawasan berpemandangan indah di luar bandar Scotland, perkampungan dan bandar-bandar kecil – anggota tentera dilihat mengangkat keranda mendiang Ratu Elizabeth II dan dibawa masuk ke Istana Holyroodhouse, iaitu kediaman rasmi Ratu Elizabeth II di Scotland. Keranda akan berada di sana semalaman.
Orang ramai diberi tempoh dua hari untuk memberi penghormatan terakhir di Istana Holyroodhouse.
Raja Charles dijadual menyertai raja-raja kanan yang lain di Edinburgh, di mana keranda tersebut akan dibawa dari Istana Holyroodhouse, menuju ke Gereja St Giles di Royal Mile, bagi satu upacara.
Keranda tersebut akan berada di sana selama 24 jam untuk membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir.
Hari persemadian Ratu Elizabeth II akan dikhususkan sebagai hari cuti umum di Britain, menurut pengumuman pegawai rasmi.
Sebelum itu, keranda tersebut akan diterbangkan ke ibu kota London, di mana ia akan dibawa dari Istana Buckingham ke Dewan Westminster. Keranda tersebut kemudian, akan berada di Dewan Westminster selama empat hari.
Perjalanan ke Balmoral merupakan yang pertama dalam rentetan acara hingga upacara persemadian negara yang akan berlangsung dengan penuh adat istiadat di Westminster Abbey, London pada 19 September.