Politik

PM saman Lokman Adam berhubung kenyataan fitnah di media sosial

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memfailkan saman terhadap Lokman Noor Adam atas dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi akaun media sosial.

Ismail yang juga naib presiden Umno, selaku plaintif memfailkan saman fitnah tersebut atas kapasiti peribadinya menerusi Tetuan Kesavan pada 8 Sept lepas, dengan menamakan Lokman, 49, yang merupakan ahli UMNO selaku defendan tunggal.

Dalam penyataan tuntutan, Ismail, 62, mendakwa Lokman pada 22 Ogos lepas telah membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif dalam satu video bertajuk “Bila Presiden Umno Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam”.

Beliau berkata kenyataan-kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif dimuat naik menerusi empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube “Lokman Adam”, Facebook “Lokman Noor Adam Official”, Instagram “lokmannooradam” dan TikTok “datoklokmanadam”.

Menurut plaintif, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif telah berjumpa dengan Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan Umno untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti itu.

Ismail berkata beliau tidak pernah berjumpa Dr Mahathir dan parti-parti lain dengan membelakangkan atau mengkhianati Umno untuk terus kekal sebagai perdana menteri.

Dakwa plaintif, beliau tidak pernah mengatur langkah-langkah secara tidak berprinsip untuk menghalang pembubaran Parlimen dan seterusnya mengadakan pilihan raya umum untuk kekal sebagai perdana menteri.

Plaintif juga mendakwa beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri untuk mencampur tangan prosiding undang-undang terhadap Najib Razak bagi memastikan bekas perdana menteri itu disabitkan dan seterusnya dipenjarakan.

Menurutnya akibat kata-kata fitnah itu, reputasinya sebagai seorang ahli Umno, naib presiden Umno dan perdana menteri terjejas, membawa kesan buruk kepada kerjaya politiknya dan siaran-siaran fitnah yang dibuat oleh defendan adalah berniat jahat.

Ahli Parlimen Bera itu berkata satu surat tuntutan bertarikh 25 Ogos lepas dikeluarkan supaya defendan memadam video daripada media sosialnya dan mengeluarkan permohonan maaf kepada plaintif namun sehingga kini defendan gagal berbuat demikian.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan, faedah, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Ismail turut memfailkan permohonan secara ex parte (sebelah pihak) untuk mendapatkan perintah injunksi bagi memaksa defendan memadamkan video di akaun YouTube, Facebook, Instagram serta TikTok miliknya dan injunksi bagi menghalang defendan atau wakilnya daripada membuat kenyataan sama menerusi media sosial yang diuruskan oleh defendan dan permohonan itu akan didengar hari ini di hadapan pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: