Shah Alam – Asthma Malaysia telah melancarkan satu program ‘fun walk’ bagi memupuk dan mempromosikan kesihatan paru-paru yang lebih baik secara global untuk masyarakat. Program yang berlangsung di Taman Botani, Shah Alam itu membuka peluang bagi masyarakat mengetahui penjagaan dan amalan kesihatan paru-paru dengan tepat.
Program berjalan secara sihat itu disertai lebih 500 orang peserta pelbagai peringkat umur dan dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin.

Khairy dalam ucapan perasmiannya menggesa masyarakat sentiasa cakna mengenai kesihatan paru-paru dengan mengamalkan cara hidup sihat dan mengelakkan mengamalkan budaya merokok mahupun menghisap vape. Beliau juga turut menekankan berkenaan Generational End Game (GEG) untuk bebas rokok dan vape.
“Penggunaan rokok elektronik atau vape telah menjadi semakin berleluasa terutama dalam kalangan masyarakat, jadi perlu bagi kita melihat betapa pentingnya mengamalkan penjagaan paru-paru dengan betul selain amalan bersenam untuk gaya hidup yang lebih sihat” katanya.
Program berjalan sihat itu bermula pada jam 8 pagi dan turut disertai Menteri Kesihatan tersebut.



Asthma Malaysia dalam masa sama turut menekankan empat perkara iaitu; Katakan tidak kepada tembakau, Lindungi mereka melalui vaksinasi, Menghirup udara bersih dan Lakukan senaman fizikal secara berkala yang perlu dititik beratkan dalam kehidupan seharian.
Sebagai tambahan, Rang undang-undang Generational End Game, yang bertujuan untuk mengharamkan merokok kepada sesiapa yang lahir dari tahun 2007 dan seterusnya, dilihat sebagai pengubah permainan oleh ramai, berpotensi mewar-warkan generasi pertama rakyat Malaysia yang tidak boleh menghisap rokok secara sah. Ia hanya merujuk kepada satu bahagian Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.