Terkini

PSPRM perjelas pencen veteran ATM tidak patut guna duit pembayar cukai

Shah Alam – Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM) meluahkan kekecewaan apabila terdapat segelintir veteran tentera terdiri dari beberapa orang berpangkat Jeneral yang tidak memahami dan keliru terhadap kerajaan berkenaan penyelarasan pencen.

Presidennya, Mejar (B) Mior Rosli Mior Jaafar berkata, pihak kerajaan sama sekali tidak boleh menggunakan wang rakyat untuk membayar pencen kepada veteran kerana ia akan diuruskan dan menggunakan kewangan dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).

“Soal pencen para veteran adalah dengan menggunakan duit kami sendiri yang ada dalam KWAP yang kerajaan perlu beri balik pada kepada bekas tentera dan tdak ada kena mengena dengan duit rakyat” katanya.

Beliau turut menambah, terdapat beberapa orang Jeneral yang akan bertindak menyaman kerajaan sekiranya isu penyelarasan pencen ini tidak dibawa semasa Bajet 2023.

“Bukan liabiliti kerajaan nak bawa hal pencen dalam belanjawan, kerana belanjawan adalah hak rakyat. Kami sendiri telah siapkan formula yang boleh digunakan dan tidak menggunakan duit pembayar cukai.

“Setiap sen duit tabung Angkatan Tentera adalah duit kita dan Majlis Angkatan Tentera tetapi apa yang kami kecewa ia tidak disalurkan kepada yang berhak dan digunakan oleh orang-orang tidak bertanggung jawab” jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, PSPRM menuntut empat perkara meliputi isu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diperjuangkan sejak lapan tahun lalu.

Empat perkara asas yang dituntut kepada kerajaan adalah penyelarasan pencen, tempoh perkhidmatan, pengampunan kepada pegawai atau anggota yang dijatuhkan hukuman dan Pencen Hilang Upaya (PHU).

“Apa yang dituntut ini bukannya perkara yang melebih-lebih sebaliknya adalah hak kita dari segi undang-undang yang dinafikan,” katanya.

Mengenai empat perkara asas yang dituntut, Mior Rosli berkata, perkara pertama adalah mengenai penyelarasan pencen yang kali terakhir diselaraskan pada 2013.

“Kemudian tiada penyelarasan dibuat, cuma kerajaan naikkan gaji mereka yang dalam perkhidmatan sehingga lebih 60 peratus, jadi kita di bawah ini jurang orang yang bersara selepas tahun 2013 ini jadi jauh. Hidup sekarang susah, kalau pencen dapat dalam RM400 hingga RM500 untuk sebuah keluarga nak hidup macam mana.

“Pencen kami ni Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang bayar kenapa kerajaan kata tak ada duit? Duit yang dalam KWAP semuanya adalah duit yang dipotong daripada anggota dan pegawai.

“Malah kerajaan umumkan mengenai pemberian elaun, saya tidak setuju bukan kerana sombong tetapi duit elaun itu daripada mereka yang membayar cukai. Kenapa kita nak suruh pembayar cukai bayar kepada veteran,” katanya.

Bagi tuntutan kedua, Mior Rosli berkata, ia membabitkan syarat perkhidmatan dalam ATM yang hanya menerima pencen selepas perkhidmatan diakui sekurang-kurangnya 21 tahun.

“Kalau tengok kepada Akta Pencen Orang Awam 1980, bomba, polis dan sebagainya mereka boleh memohon untuk berhenti ketika 10 tahun dalam perkhidmatan dan dapat pencen.

“Tetapi kami yang pertahankan negara, masuk dan keluar hutan, berkorban nyawa dan sebagainya akhirnya bila dah tua dibuat seperti sampah, tiada sistem yang betul untuk perjuangkan kami,” katanya.

Mengenai tuntutan ketiga, Mior Rosli berkata, ia berkaitan dengan anggota atau pegawai ATM yang dijatuhi hukuman dan tidak akan diiktiraf sebagai veteran.

“Tidak kiralah berapa tahun pun kita berkhidmat, bila dijatuhkan hukuman mereka ini tidak akan diiktiraf sebagai veteran. Maknanya, kerajaan tidak akan beri bantuan langsung kepada individu itu mahupun ahli keluarganya.

“Jadi kalau dia diberhentikan kerana masalah disiplin, dipinggirkan dan dibuang mereka tidak akan diiktiraf menjadi veteran, sekali gus kerajaan tidak akan bantu keluarganya, anak isteri kalau sakit pun tidak ada siapa akan peduli. Mereka kena cari duit sendiri untuk teruskan hidup.

“Perkara ini tidak patut, kalau lihat pada Perkara 48 dalam Perlembagaan Persekutuan, orang politik ini kalau dituduh bersalah dan masuk penjara, selepas lima tahun dia boleh masuk balik dalam arena politik dan bertanding menjadi menteri sebagainya, namun kami sehingga ke liang lahad termasuk ahli keluarga akan ‘dibuang’,” katanya.

Untuk tuntutan terakhir, Mior Rosli memaklumkan PHU perlu dikaji semula dan dibuat dengan bersistem kerana buat masa ini terdapat 15 individu yang kini kehilangan upaya kerana cedera dalam peperangan menentang komunis.

“Sepatutnya kerajaan insurankan setiap anggota tentera dengan pampasan yang lebih lumayan, janganlah memaksa anggota tentera ini membayar sendiri insuran kelompok kerana mereka ini bertugas untuk mempertahankan negara.

“Jumlah cedera perang adalah terlalu sedikit dan jika perkara ini pun kerajaan gagal lakukan, apa lagi perkara yang lebih besar,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: