Kuala Lumpur – Filem Sayap-Sayap Patah lakonan Nicholas Saputra dan Ariel Tatum yang telah ditayangkan di Indonesia pada 18 Ogos 2022 yang lalu kini bakal ditayangkan di Malaysia bermula 13 Oktober ini.
Di adaptasi dari kisah benar tragedi berdarah rusuhan lokap Mako Brimop, Kota Depok, Indonesia pada 2018 apabila sekumpulan tahanan penggganas bangkit merusuh.


Dalam kejadian yang menggemparkan itu, pertempuran hebat tercetus dan seramai 5 anggota polis Densus 88 dibunuh dengan kejam.
Nicholas melakonkan watak Adji salah seorang anggota Densus 88 yang juga suami kepada Nani (Ariel Tatum). Turut membintangi filem ini adalah rapper terkenal Indonesia Iwa K serta dibantu dengan cemerlang oleh Popi Sovia, Ariyo Wahab, Edward Akbar, Dewi Irawan, Revaldo dan ramai lagi.
Sayap Sayap Patah diterbitkan aktivis sosial media terkenal Denny Siregar bersama Yoen K. Pengarah Rudi Soedjarwo pula sebelum ini pernah menggilap bakat Nicholas kira-kira 20 tahun lalu menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta. Filem lain arahan Rudi termasuklah 9 Naga, Tentang Dia, Mengejar Matahari, 40 Hari Bangkitnya Pocong dan Mendadak Dangdut.



Lagu Ku Tunggu Senyummu dendangan Ipang Lazuardi telah dipilih menjadi OST filem blockbuster ini. Bagi lagu soundtrak di Malaysia pula dibawa oleh Amir Masdi.
Ramai memuji skor muzik serta kesan bunyi untuk filem ini yang banyak membantu babak-babak sedih, ceria dan mendebarkan.
Pada malam pra tonton, turut dihadiri barisan pelakon Iwa K, Bhutet, Poppy Sovia, Ariyo Wahab dan penerbit Denny Siregar. Turut hadir sama produser AddMore Holding Berhad, Roslina Abd Majid yang bertanggung jawab mengedarkan filem ini di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.


Dalam sidang media tersebut, Denny menjelaskan filem ini hanya bertindak sebagai fiksi yang digarap dan tidak memaparkan seratus peratus tragedi malang yang berlaku demi menjaga keselamatan para waris pejuang yang terkorban.
Pemilihan barisan pelakon yang terlibat di dalam filem ini bukan sekadar gah dari segi populariti tetapi berjaya memberikan persembahan lakonan yang cukup mantap, penuh dengan emosi dan semestinya berjaya memberikan impak kepada tontonan setiap penonton yang menyaksikannya.


Genre filem Sayap Sayap Patah merupakan genre pilihan ramai penonton filem komersial iaitu romantik dan aksi. Menariknya kedua-dua genre ini berjaya dipaparkan dalam kadar yang seimbang. Jadi, secara tidak langsung ini menguatkan lagi penceritaan filem ini dan berjaya mengelakkan penonton daripada bosan atau terasa filem ini terlampau berat. Romantik yang dipaparkan sememangnya cukup berkesan untuk menyentuh hati penonton terutamanya wanita manakala aksi-aksi yang dipertontonkan pasti akan meningkatkan adrenalin penonton yang menggilai babak-babak aksi yang memukau.
Jadi, jangan lupa untuk menonton filem Sayap Sayap Patah yang akan ditayangkan bermula pada 13 Oktober 2022 di pawagam seluruh Malaysia.