Kuala Lumpur – Kumpulan nasyid popular Rabbani bakal mengembalikan zaman kegemilangan nasyid dengan konsert berskala besar dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor menerusi Yayasan Warisan Johor (YWJ).
Penganjuran Konsert 25 Tahun ‘Simponi Kesyukuran Rabbani’ akan diadakan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor pada 30 Disember 2022 pada jam 8.30 malam.
Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz, 49, menjelaskan konsert ini merupakan satu tanda aras bahawa irama nasyid masih diterima dan menyambut baik kerjasama bersama YWJ bagi memartabatkan kembali genre ini.

“Kalau orang tanya nasyid ini masih boleh bertahan atau tidak? Jawapannya adalah bila kita yang dalam industri ini beri peluang maka sahutlah sama-sama,” katanya.
Jelasnya, ada banyak kelainan dan kejutan yang telah dibincangkan untuk disajikan kepada para peminat pada konsert itu nanti. Beliau juga menambah, konsert ini bukan sahaja mengubat kerinduan peminat namun dapat mempromosikan negeri Johor secara tidak langsung.
YWJ dalam sidang media memaklumkan program ini merupakan inisiatif di bawah Unit Kesenian Islam dan memilih untuk berkolaboratif bersama kumpulan nasyid Rabbani bagi menganjurkan program bersifat konsert.
YWJ telah memilih kumpulan nasyid Rabbani atas sebab populariti dan perjuangan Rabbani yang masih bertahan dalam industri muzik nasyid selama lebih dua dekad. Penganjuran program konsert ini bertujuan meningkat kefahaman, kesedaran terhadap genre nasyid dan menanam semangat jati diri masyarakat melalui bait-bait dalam lirik lagu yang disampaikan.

Azadan turut menambah, konsert yang berlangsung selama 2 jam itu turut menampilkan beberapa artis jemputan seperti Mawi, Hijjaz, Daqmie, Dinie Juri dan Aeydan serta penglibatan barisan pemuzik dari Yayasan Warisan Johor.
“Persembahan yang bertemakan “Simfoni Kesyukuran Rabbani” juga akan diiringi dengan muzik Okestra dan perkusi, selain itu juga mengandungi, Qasidah, Tarian Sufi Munajat dan juga Sajak Pertarungan berserta Pentomen” jelasnya.

Bersesuaian dengan pengalaman 25 tahun Rabbani, konsert ini akan berlangsung beberapa segmen antaranya, pembukaan dengan kemunculan awal Rabbani dengan konsep Andaslusia, seterusnya Nolstagia nada Murni, Kebangkitan Nasyid, Tribute dan akhir sekali era pandemik dan terkini.
Selain YWJ sebagai penganjur, konsert ini juga turut mendapat kerjasama dari Malaysian Thailand Halal Food Festival (MSTHAF), Aman Palestin Johor dan Jamil Teluk Belanga.

Untuk makluman, tiket untuk konsert ini dijual pada harga RM58, RM88, RM128 dan RM188 di mytiket.asia bermula 1 Disember ini.