IMAGE 2 (3)

Putrajaya –  Menyusuli kejayaan filem pertama, Takluk: Lahad Datu (2024) yang mencatat kutipan box office sebanyak RM26.9 juta dan muncul antara filem tempatan paling laris pada tahun tersebut, TAKLUK 2: OP DAULAT kini kembali dengan skala aksi ketenteraan yang lebih besar, kerjasama strategik bersama Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia serta penceritaan yang lebih mendalam tentang keberanian dan pengorbanan wira negara.

Diinspirasikan daripada peristiwa sebenar Operasi Daulat 2013, filem ini meneruskan legasi filem pertama dengan membawa penonton menyelami fasa seterusnya dalam konflik pencerobohan Lahad Datu, Sabah. Penglibatan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia turut menjadi antara kekuatan utama produksi ini dalam menghasilkan gambaran operasi ketenteraan yang lebih realistik dan meyakinkan.

Menampilkan gabungan pelakon popular tanah air antaranya Syafiq Kyle, Datuk Remy Ishak, Kamal Adli, Fadlan Hazim, Datuk Eman Manan, Nas-T, Luqman Hafidz, Taufiq Hanafi, Anas Ridzuan, Sara Ali dan ramai lagi, filem ini bukan sekadar menjanjikan aksi mendebarkan, malah turut menyentuh sisi kemanusiaan, semangat persaudaraan serta pengorbanan anggota keselamatan dan keluarga mereka di sebalik perjuangan mempertahankan negara.

Lebih daripada sebuah filem aksi, TAKLUK 2: OP DAULAT merupakan sebuah penghormatan kepada wira-wira negara yang telah berjuang dan terkorban demi memastikan keamanan serta kedaulatan Malaysia terus terpelihara.

SINOPSIS TAKLUK 2: OP DAULAT

Diinspirasikan daripada peristiwa sebenar pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013, TAKLUK 2: OP DAULAT mengisahkan perjuangan pasukan keselamatan Malaysia ketika berdepan ancaman kumpulan bersenjata Sulu yang menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

Pencerobohan tersebut mencetuskan konflik bersenjata yang membawa kepada pelaksanaan Operasi Daulat, menyaksikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berganding bahu dalam usaha menumpaskan ancaman serta mempertahankan kedaulatan tanah air.

Di sebalik pertempuran sengit dan cabaran yang menguji kekuatan fizikal serta mental, terserlah keberanian, kesetiaan dan pengorbanan anggota keselamatan yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi memastikan keamanan negara terus terpelihara.

Filem ini turut memberi penghormatan kepada wira-wira negara yang terkorban dalam mempertahankan tanah air, sekali gus mengingatkan masyarakat tentang harga sebuah keamanan dan erti sebenar pengorbanan.

TAKLUK 2: OP DAULAT dipersembahkan oleh Multimedia Filem Productions Sdn. Bhd., Skop Productions, GSC Cinemas dan Astro, bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan dipersembahkan bersama AG Asia Group.

Penerbitan filem ini turut mendapat sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Komunikasi, dengan JETOUR sebagai Penaja Utama serta CUCKOO sebagai Penaja Bersama. Filem ini diedarkan secara rasmi oleh GSC Movies.

Kerjasama pelbagai pihak ini mencerminkan komitmen bersama dalam menghasilkan sebuah karya tempatan yang bukan sahaja menampilkan kualiti produksi dan aksi yang mengagumkan, malah berperanan sebagai medium untuk menyemarakkan semangat patriotisme serta memperkenalkan sejarah perjuangan negara kepada generasi masa kini.

Melalui gabungan elemen aksi, drama dan sejarah, TAKLUK 2: OP DAULAT diharap dapat membuka ruang kepada penonton, khususnya generasi muda, untuk memahami dengan lebih mendalam cabaran dan pengorbanan anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan Malaysia.

MALAM GALA & SIDANG MEDIA RAIKAN PERJUANGAN WIRA NEGARA

Bersempena dengan tayangan rasminya, Majlis Malam Gala & Sidang Media TAKLUK 2: OP DAULAT berlangsung pada 23 November 2026 di IOI City Mall, Putrajaya, dengan menghimpunkan barisan pelakon, tenaga produksi, wakil pasukan keselamatan, rakan strategik, penaja serta pengamal media.

Majlis yang berlangsung di IOI City Mall (West) ini turut dimeriahkan dengan persembahan khas, acara karpet merah serta tayangan perdana filem, sekali gus memberi peluang kepada tetamu jemputan dan rakan media untuk menyaksikan sendiri karya penuh aksi dan semangat patriotik ini sebelum tayangan rasminya.

Penganjuran malam gala ini juga menjadi simbol penghargaan kepada seluruh anggota keselamatan negara, khususnya mereka yang terlibat dalam Operasi Daulat, serta mengenang jasa dan pengorbanan wira-wira yang telah mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan tanah air.

Lebih daripada sekadar sebuah karya hiburan, TAKLUK 2: OP DAULAT membawa mesej bahawa keamanan dan kedaulatan yang dinikmati hari ini hadir bersama pengorbanan besar para perwira negara yang tidak seharusnya dilupakan.

TAKLUK 2: OP DAULAT bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 26 November 2026. 

Leave a Reply