Terkini

Projek Perumahan Wakaf Mutiaraku fokus golongan B40 dan M40 Pulau Pinang

Balik Pulau – Wakaf Pulau Pinang (WPP) bakal melaksanakan Projek Pembangunan Fasa 2 dikenali sebagai Perumahan Wakaf Mutiaraku membabitkan Pangsapuri Jenis Rumah Mampu Milik (1,088 unit), 74 lot komersial dan kemudahan-kemudahan lain di Lot 247 Jalan Sungai Nipah, Pulau Betong dekat Balik Pulau.

Ketua Pegawai Eksekutif WPP, Rosidi Hussain berkata kos pembangunan kasar bagi projek tersebut adalah berjumlah RM426 juta hasil kerjasama pintar WPP bersama Rekabina Jaya Sdn Bhd dalam pembangunan ekonomi dan kebajikan komuniti.

Beliau berkata, konsep pembangunan yang dinamakan Perumahan Wakaf Mutiaraku itu diharap menjadi pemangkin pembangunan perumahan yang ada dalam perancangan.

Pengerusi Kumpulan Rekabina Jaya Sdn Bhd, Tan Sri Izzuddin Dali (kanan) menyampaikan cenderahati kepada TYT Pulau Pinang.

“Saya berharap dengan pembangunan wakaf ini ia mampu merancakkan bentuk keperluan dari segi perumahan dan komersial khususnya kepada umat Islam di negeri ini.

“Elemen penting dalam projek ini adalah kesejahteraan ekonomi, kelestarian pembangunan, umah harmoni, pemerkasaan komuniti dan hab pendidikan serta akses prasarana bertemakan kualiti gaya hidup keriangan,” katanya selepas Majlis Peletakan Batu Asas Pembangunan Wakaf Al-Mashoor Al-Islami (Fasa 2) Balik Pulau Secara Usaha Sama Di Antara Rekabina Jaya Sdn Bhd dan WPP.

Majllis peletakan batu asas itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail; ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Sayuthi Abu Bakar dan Pengerusi Rekabina Jaya Sdn Bhd, Tan Sri Izzuddin Dali.

Rosidi berkata, projek tersebut juga memberi pulangan jangka panjang kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Sekolah Agama Al-Mashoor Al-Islami menerusi pembinaan dewan konvensyen mini, astaka, kompleks sukan dan rekreasi, naik taraf padang sintetik, naik taraf surau dan pelbagai kemudahan lain.

“Pembangunan ini diharap akan memberi pulangan hasil yang besar terhadap kemajuan negara amnya dan ekonomi umat Islam secara khusus menerusi penyediaan infrastruktur perumahan yang lebih terancang dan kondusif kepada golongan B40 dan M40 di Pulau Pinang.

“Sekarang status projek adalah sedang menunggu kelulusan kebenaran merancang oleh pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), paling awal projek dijangka dapat dijalankan pada Julai 2023 dengan anggaran masa selama 36 bulan untuk disiapkan,” katanya.

Sementara itu, WPP dalam kenyataan medianya berkata, langkah itu juga akan dapat membantu kerajaan negeri dalam mencapai sasaran menyediakan 220,000 unit Rumah Mampu Milik di bawah inisiatif strategik kerajaan negeri dalam menangani isu kemampuan dan kepelbagaian perumahan di negeri ini.

“Melalui kerjasama pintar ini, sektor pembangunan hartanah wakaf dapat dibangunkan dan direalisasikan dengan jayanya bagi mencapai kesejahteraan dan perkembangan ekonomi ummah dalam pelbagai bidang seperti perniagaan, kesihatan, pendidikan, hartanah komersial dan lain-lain.

“Ini kerana wakaf merupakan salah satu instrumen penting dalam usaha meningkatkan nilai produktiviti dan pemerkasaan sosio-ekonomi ummah melalui penggunaan tanah wakaf secara optimum,” katanya.

Selain itu, impak pelaksanaan pembangunan itu akan menjadikan kawasan Balik Pulau ini menjadi pilihan dengan petempatan yang lebih kondusif dengan pelbagai aksesibiliti dan kemudahan sekali gus menggalakkan masyarakat dan generasi muda khususnya untuk terus kekal menetap dan membina masa depan dengan gaya hidup yang lebih berkualiti.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: