Bisnes Uncategorized

Vinda Asia tenggara rasmi hab serantau baharu di Malaysia buat 25 pasaran asia

Klang – Hari ini, Vinda Asia Tenggara (Vinda SEA), sebuah unit Vinda International Holdings Ltd yang tersenarai di Hong Kong, secara rasmi telah melancarkan Hab Serantau Vinda SEA yang baharu, bertempat di Bandar Bukit Raja, perbandaran industri Selangor.

Fasiliti mega serba canggih baharu ini – sebuah pelaburan bernilai lebih RM 600 juta – berlokasi di tapak seluas 30 ekar dan merangkumi kilang pembuatan dua tingkat yang menempatkan gudang bahan mentah, gudang barangan siap yang diautomasi, pusat pengedaran, Pusat Inovasi Vinda, serta blok pentadbiran enam tingkat.

Su Ting Nee, Presiden Vinda Group Asia Tenggara berkata, “Pelaburan lebih setengah bilion ringgit untuk menubuhkan Hab Serantau Vinda SEA ini menjadi mercu tanda komitmen Vinda kepada Malaysia dan negeri Selangor. Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya sendiri bangga atas apa yang dapat kami sumbangkan buat negara ini. Dengan Hab Serantau Vinda SEA yang baharu ini, kami juga menjangkakan kapasiti pengeluaran bakal meningkat sebanyak 20%. Di masa akan datang, kami juga akan membangunkan sebuah lagi tapak seluas 20 ekar. Selain itu, pembangunan bakat tempatan adalah diutamakan, dan fasiliti baharu ini kini menempatkan lebih 1,400 kakitangan yang terdiri daripada 99% komuniti tempatan. Justeru, kami mencipta lebih banyak lagi peluang pekerjaan dan punca pendapatan di Malaysia, di samping membawa produk yang lebih bermutu ke benua Asia.”

Hab serantau ini akan memusatkan kepakaran dan aktiviti bernilai tinggi di Malaysia, sekaligus mengukuhkan lagi modal pengetahuan negara. Pembangunan ini juga membantu menjadikan Vinda Group lebih berdaya saing di peringkat global, dengan menggunakan teknologi termaju dan terkini yang menampilkan automasi berskala besar dan kecerdasan buatan (AI).

Hab Selangor ini didedikasikan untuk lebih 25 pasaran dan menggunakan konsep Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). Ia meningkatkan keberkesanan pada setiap peringkat rantaian bekalan serta meningkatkan kecekapan, dan pada masa yang sama mengurangkan kos pengeluaran.

Tambahan pula, Vinda SEA akan banyak melabur dalam latihan untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan pembekalnya demi memenuhi keperluan teknologi baharu. Dengan lebih ramai lagi tenaga kerja mahir, dalam jangka panjang ia akan memberi manfaat merentasi ekosistem industri FMCG di Malaysia, khususnya dalam sektor produk kebersihan diri.

Sebagai sebuah entiti korporat yang bertanggungjawab, Vinda juga telah lama berpegang teguh pada komitmen untuk kemampanan dan komited untuk mengambil langkah sewajarnya dalam melaksanakan amalan terbaik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk semua rakan kongsi kami dan hasil keluaran setiap produk kami kepada pengguna.

Tapak seluas 30 ekar itu telah menggabungkan ciri-ciri hijau dan mesra ekologi, dengan kesan alam sekitar dan jejak karbon yang minimum. Vinda SEA juga telah berikrar untuk menjadi sifar karbon menjelang 2025.

Jenama pengguna Vinda yang tersedia di Asia Tenggara mematuhi piawaian keselamatan, kualiti dan alam sekitar AS dan Eropah yang ketat seperti FSC, ISO14001, ISO 45001, ISO9001, REACH dan banyak lagi. Tentunya, syarikat itu kekal komited untuk masa depan yang mampan untuk semua pihak berkepentingan dan pelanggannya.

Pusat Inovasi Vinda baharu tersebut merupakan satu-satunya pusat syarikat itu di luar negara China. Fasiliti serba canggih ini dilengkapi dengan ramai pakar dalam penyelidikan & pembangunan (R&D), inovasi teknikal, serta pembangunan produk dan bahan. Pusat ini juga mematuhi piawaian antarabangsa yang ketat dalam pembangunan produk, kualiti dan keselamatan produk – konsisten dengan amalan yang dipraktikkan oleh Vinda dan Essity seluruh dunia. Essity, sebuah syarikat kebersihan dan kesihatan global terkemuka, merupakan pemegang saham majoriti Vinda International Holdings Limited.

Di samping itu, Vinda SEA Hub ini selari dengan inisiatif Industry4WRD oleh Kerajaan Malaysia.

Karen Li, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Vinda berkata, “Pasaran Asia Tenggara ialah rantau strategik yang memacu perkembangan bisnes yang berterusan bagi kumpulan Vinda. Dengan bermulanya operasi Hab Serantau SEA baharu kami secara rasmi, kami percaya bahawa tahap pengeluaran dan R&D bagi kedua-dua perniagaan kami dalam penjagaan diri dan tisu pengguna akan mencapai potensi yang sebenar; sekaligus membawakan produk dan perkhidmatan yang lebih unggul dan relevan kepada pengguna di rantau ini. Di samping itu, kami akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan kemahiran bakat anak tempatan. Menerusi cara ini, kami dapat menyokong usaha kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam membina struktur ekosistem yang lebih kukuh dan teguh dalam industri.”

Hab serantau itu bakal membangunkan, mengeluarkan dan memasarkan 3 kategori produk, iaitu penjagaan bayi, penjagaan inkontinens, dan penjagaan kewanitaan. Di Malaysia, Vinda adalah peneraju pasaran yang disegani dalam semua kategori ini. Jenama lampin bayinya Drypers kini menakluki lebih 45% pasaran, sementara jenama tuala wanita Libresse ialah jenama #1 dalam kategori ini, memperjuangkan sebuah dunia di mana wanita hidup dengan penuh keyakinan dan menjadi versi diri mereka yang terbaik.

Manakala jenama lampin dewasa Vinda, TENA, ialah jenama penjagaan inkontinens dewasa nombor #1 dunia, dan juga peneraju pasaran dalam kategori tersebut di Malaysia.

Vinda ingin menekankan lagi usahanya dalam menyokong komuniti setempat: sebagai contoh ialah melalui usaha TENA menyokong dan memperkasa golongan warga emas di Malaysia. Dengan lebih 6% penduduk Malaysia berumur 60 tahun ke atas, ia menjadikannya sebuah negara yang meningkat tua, seperti yang dikategorikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

TENA memperjuangkan semangat Penuaan Aktif, di mana pengguna menjalani kehidupan yang sihat; aktif dari segi mental dan fizikal, untuk memperlahankan proses penuaan. Menyokong konsep Penuaan Aktif ini, TENA kini melancarkan pencarian bakat di seluruh negara untuk kumpulan muzik yang terdiri daripada warga emas berumur 60 tahun ke atas. Kumpulan muzik ini akan dinamakan TENAcity, yang mengetengahkan nilai utama TENA, iaitu kecekalan atau semangat tak putus asa. TENAcity akan menjelajah di seluruh negara, mendendangkan lagu-lagu popular dan menyebarkan mesej positif penuaan aktif. TENA juga akan bekerjasama dengan banyak NGO dan organisasi Malaysia yang berkerja rapat dengan warga emas. Kempen ini adalah yang pertama seumpamanya bukan sahaja dalam kategori ini, tetapi juga di benua Asia tentunya.

Su berkata, “TENAcity hanyalah salah satu contoh bagaimana Vinda terus berinovasi demi membina hubungan yang lebih bermakna antara penggunanya dan jenama Vinda. Malah kami menjalankan kempen yang tak kurang inovatifnya untuk kesemua jenama kami di pelbagai pasaran, di mana sahaja kami berada. Inilah yang membuatkan jenama-jenama ini dekat di hati pengguna tempatan.”

Pembukaan rasmi Hab Serantau Vinda SEA telah dimeriahkan oleh Yang Berbahagia Dato’ Sri Norazman Ayob – Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri, Umarani Muniandy – Pengarah Eksekutif Pembangunan Perkilangan (Sumber) di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr Joachim Bergstrom, Duta Besar Sweden di Malaysia, Li Chao Wang – Pengerusi Vinda Group, Magnus Groth – Ketua Pegawai Eksekutif Essity, Su Ting Nee – Presiden Vinda Asia Tenggara (SEA), dan kesemua ahli Lembaga Pengarah dari serata Eropah & Asia.

Pada 2017/2018, Vinda SEA dinamakan sebagai salah satu pelabur asing dengan pelaburan terbesar di negeri Selangor dan ia melihat pelaburan untuk hab serantau baharu ini sebagai kesinambungan daripada komitmennya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab Asia di Asia Tenggara (SEA) bagi produk kebersihan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: