KUALA LUMPUR – Berjaya Property Berhad (dahulunya dikenali sebagai Berjaya Land Berhad) menjalinkan kerjasama strategik dengan Prince Court Medical Centre, sebahagian daripada rangkaian IHH Healthcare, bagi menawarkan keistimewaan perkhidmatan kesihatan dan inisiatif kesejahteraan kepada pembeli rumah yang layak di projek pembangunan terpilih syarikat itu.
Kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi untuk meningkatkan pengalaman pemilikan kediaman dengan memperluaskan nilai pembelian hartanah melangkaui aspek fizikal tempat tinggal semata-mata.
Menerusi kerjasama itu, pembeli rumah yang layak akan menikmati akses kepada pelbagai keistimewaan kesihatan, bantuan perubatan serta inisiatif kesedaran kesihatan yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan secara menyeluruh.
Kerjasama berkenaan turut menawarkan nilai tambah kepada pembeli hartanah antarabangsa yang berminat untuk melabur di Malaysia.
Selain lokasi strategik, potensi pelaburan dan kemudahan gaya hidup, akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti merupakan antara pertimbangan penting bagi mereka yang merancang untuk menetap dalam jangka panjang di negara asing.
Prince Court yang diiktiraf dalam senarai World’s Best Hospitals & Clinics for Medical Tourism 2027 oleh Newsweek mempunyai pengalaman luas dalam menyediakan perkhidmatan kepada pesakit antarabangsa, disokong kepakaran perubatan pakar serta perkhidmatan khusus untuk pesakit luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Property Berhad, Syed Ali Shahul Hameed berkata, pihaknya percaya sebuah kediaman bukan sekadar tempat untuk tinggal, sebaliknya perlu menawarkan gaya hidup yang memberikan keselesaan, kemudahan dan ketenangan kepada pemiliknya.
Menurut beliau, akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti merupakan antara aspek penting yang dipertimbangkan pembeli hartanah, khususnya pembeli antarabangsa yang melihat Malaysia sebagai kediaman kedua.
Katanya, kerjasama strategik bersama Prince Court mencerminkan komitmen syarikat untuk menyediakan pengalaman pemilikan kediaman yang lebih menyeluruh dengan menghubungkan projek pembangunan hartanahnya kepada perkhidmatan kesihatan yang mantap.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Assets Berhad, Tan Tee Ming berkata, pihaknya melihat peningkatan minat pembeli antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan hartanah dan tempat tinggal jangka panjang, disokong daya tarikan berterusan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
Beliau berkata, perkembangan itu meningkatkan keperluan untuk menawarkan pembangunan kediaman yang bukan sahaja mempunyai lokasi menarik dan potensi pelaburan, malah menyediakan tawaran gaya hidup lebih lengkap.
Menurutnya, kerjasama dengan Prince Court dijangka memperkukuh daya tarikan projek seperti Times Square 2 dan The Ritz-Carlton Residences, Kuala Lumpur, khususnya dalam kalangan pembeli antarabangsa serta keluarga yang mempertimbangkan Malaysia sebagai kediaman kedua.
Ketua Pegawai Eksekutif Prince Court, Tan Sok Kheng pula berkata, akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti memainkan peranan penting dalam kesejahteraan menyeluruh.
Katanya, kerjasama itu bertujuan mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada pembeli rumah Berjaya Property, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan secara pencegahan.
Kemudahan Kesihatan Dalam Jarak Berdekatan
Kerjasama strategik itu turut melengkapi kelebihan lokasi dua pembangunan kediaman utama Berjaya Property di Kuala Lumpur, iaitu Times Square 2 dan The Ritz-Carlton Residences, Kuala Lumpur, yang masing-masing terletak dalam lingkungan kira-kira empat kilometer dari Prince Court Medical Centre.
Times Square 2 merupakan pembangunan pegangan bebas yang terletak di sepanjang Jalan Imbi, Bukit Bintang.
Pembangunan itu menawarkan kemudahan perhubungan terus melalui jambatan penghubung ke Stesen Monorel Imbi, Stesen LRT Hang Tuah, Berjaya Times Square dan LaLaport Bukit Bintang City Centre.
Kemudahan berkenaan membolehkan penduduk menikmati akses mudah kepada pengangkutan awam serta pusat beli-belah utama tanpa perlu menggunakan laluan jalan raya.
Selain itu, pembangunan berkenaan turut terletak berhampiran destinasi terkenal seperti Pavilion Kuala Lumpur dan Tun Razak Exchange (TRX), manakala Prince Court hanya kira-kira 3.4 kilometer dari lokasi tersebut.
Sementara itu, The Ritz-Carlton Residences, Kuala Lumpur yang terletak di sepanjang Jalan Sultan Ismail, kawasan Segi Tiga Emas, menawarkan kediaman eksklusif pegangan bebas dengan reka bentuk mewah, privasi serta perkhidmatan hospitaliti bertaraf premium.
Antara kemudahan disediakan termasuk perkhidmatan concierge 24 jam, parkir valet dan pengurusan kediaman khusus.
Penduduk turut menikmati pelbagai kemudahan gaya hidup di Sky Lobby Aras 9 seperti Residence Club Lounge, kolam renang infiniti, gimnasium, gelanggang tenis, bilik rawatan spa peribadi, taman landskap, pusat perniagaan serta kemudahan khusus untuk kanak-kanak.
Prince Court Medical Centre pula terletak kira-kira empat kilometer dari pembangunan berkenaan.
Perkasa Kesedaran Kesihatan Komuniti
Bagi meraikan kerjasama strategik itu, Berjaya Property dan Prince Court turut menganjurkan program kesihatan komuniti selama sehari pada 21 November 2026 di ruang legar utama Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.
Program berkenaan bertujuan mendekatkan kepakaran perubatan profesional serta inisiatif kesedaran kesihatan kepada pembeli rumah dan masyarakat umum.
Antara pengisian program ialah sesi tindak balas kecemasan yang dikendalikan Timbalan Pengarah Perubatan merangkap Pakar Perunding Perubatan Kecemasan Prince Court, Dr Siva Perumal, yang berkongsi panduan praktikal mengenai tindakan sewajarnya ketika berdepan situasi kecemasan perubatan.
Pengunjung turut berpeluang mendapatkan khidmat nasihat daripada Pakar Perunding Ortopedik, Dr Murali Govindasamy dan Pakar Perunding Kardiologi, Dr Beh Ting Yuen berhubung pelbagai isu kesihatan.
Selain itu, pemeriksaan kesihatan asas melibatkan paras glukosa darah, asid urik dan kolesterol turut disediakan bagi menggalakkan orang ramai memahami tahap kesihatan masing-masing serta mengambil langkah proaktif dalam penjagaan kesihatan.
Menerusi kerjasama strategik itu, Berjaya Property dan Prince Court berharap dapat terus mewujudkan nilai tambah kepada pembeli rumah, memperkukuh kesejahteraan komuniti serta mempromosikan pendekatan kehidupan moden yang lebih menyeluruh.
Prince Court Medical Centre merupakan sebahagian daripada IHH Healthcare, antara kumpulan penjagaan kesihatan terbesar di dunia.
