Kuala Lumpur – Bagi meringankan beban serta derita penyakit ditanggung pemain gitar kumpulan Spring, Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail yang lebih setahun terlantar sakit, pihak Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) dan beberapa rakan baiknya bakal mengadakan satu jelajah amal di seluruh negara ini.

Siri Jelajah Amal Solidariti Untuk Iskandar Spring akan memulakan konsert busking pertamanya pada Ahad 29 Januari ini di Santai Seni@TAR, Jalan Tunku Abdul Rahman (berhadapan Kamdar) bermula dari jam 2.30 hingga 6.30 petang.
Program jelajah amal ini akan diperluaskan di seluruh negara antaranya Pulau Pinang, Terengganu, Ipoh dan Kota Bharu.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mohd Faruk Abdul Rahman menjelaskan pihaknya menyambut baik cadangan Siri Jelajah Amal ini dan bercadang diadakan di Padang Kota Pulau Pinang sebelum bulan Ramadan nanti.
“Selepas melihat sambutan dari beberapa rakan artis yang akan bersama membuat persembahan pada siri jelajah amal pertama nanti, kami teruja untuk diadakan di Pulau Pinang dan sudah pastinya menarik lebih ramai pengunjung terutama peminat lagu-lagu 80 an.
“Kami juga akan bekerjasama dengan exco pelancongan dan kerajaan negeri serta kumpulan busker Pualau Pinang bagi menjayakan siri amal ini” katanya kepada Malaysianews TV.
Jelasnya lagi, siri jelajah amal itu juga secara langsung dapat mempromosikan seni, budaya dan pelancongan negeri disamping menghiburkan orang ramai dengan konsert secara percuma.
Siri Jelajah Amal ini juga akan diadakan di Terengganu Drawbridge, Kuala Terengganu dan berkerjasama dengan Terengganu Buskers Association (TBA) pada 28 Febuari hingga 18 Mac. Kemunculan para artis yang akan membuat persembahan pula dicadangkan pada 10 Mac nanti.

Setiausaha Agong TBA
Setiausaha Agong TBA, Fazli A.Rahman memberitahu program ini adalah julung kali diadakan dan bakal mengetengahkan beberapa kumpulan busker dari enam daerah dari seluruh Terengganu.
Jelasnya lagi, TBA ditubuhkan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19 tahun 2021 dan ianya bagi membantu para busker yang mengalami kekangan pendapatan ketika itu.
“Selain mengumpul dana untuk Iskandar, siri jelajah amal ini juga dapat mempromosi pelancongan Terengganu dan kumpulan busker disini disamping membantu para peniaga kecil dan trak makanan disini” jelasnya.
Siri jelajah amal ini akan menampilkan Ameng, Umarul, Syafiq Farhain, Alim Kris, Maman Teachers Pet, Bob Sentuhan, Mus Kemala, Belle Fattah, Iss Arffan, Black Maria, Islah & The People dan Radhi Khalid selaku hos.
Mekanisme kutipan sumbangan ialah melalui jualan amal beberapa produk seni, cakera padat agama, tabung bergerak, kod imbasan QR dan secara dalam talian.