Kuala Lumpur – Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) bersama beberapa rakan artis akan mengadakan satu siri konsert jelajah amal Solidariti Iskandar Spring di seluruh negara.
Bekas pemain gitar kumpulan Spring, Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail, 53, yang kini menderita pelbagai penyakit kronik antaranya kencing manis, kesukaran bertutur dan komplikasi buah pinggang. Difahamkan beliau perlu menjalani dialisis empat kali seminggu disamping rawatan hospital bagi penyakit yang lain.

Siri jelajah itu bertujuan mengutip dana sekitar RM40,000 untuk menampung kos perubatan dan perbelanjaan sepanjang tahun buat Iskandar, yang mana purata jumlah diperlukan setiap bulan sebanyak RM3,000.
Vokalis Spring, Ameng antara penyumbang idea bagi program jelajah amal ini bersama sahabat baiknya, Umarul dari kumpulan Iklim merasakan tanggungjawab untuk membantu sahabat yang banyak berkongsi pahit manis sepanjang perjalanan membangunkan Spring dan Iklim.
“Pada awal saya tawarkan diri untuk jadi penyanyi Iklim. Kalau ada persembahan saya boleh nyanyi.

“Tapi ini cerita tiga tahun lalu. Baru-baru ini pula Umarul beritahu, dia setuju untuk bekerjasama.
“Perancangan saya untuk tubuh kumpulan baru dengan tampilkan Umarul sebagai pemuzik, yang kami namakan sebagai Aura Band.
“Nak mulakan sesuatu serta nak popular memakan masa, jadi sebagai permulaan, kami cadang untuk busking dan dalam pertengahan perancangan itu, kami dapat tahu Iskandar tengah sakit,” katanya.


Tambahnya lagi, dari niat nak berhibur dan nak ubat rindu peminat Spring dan Iklim bertukar jadi show amal.
Katanya, kebetulan, apabila Umarul mengenali wakil Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), persembahan yang dirancang menjadi lebih mudah.
Pengerusi Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata pihak persatuan akan sentiasa berkerjasama dalam membantu para artis yang memerlukan dan berusaha melakukan pelbagai program yang bermanfaat bagi mengutip dana.

“Pada siri jelajah Solidariti Iskandar Spring itu nanti, ada lebih kurang dua belas artis yang sudi melakukan persembahan dan sudah tentu ia merupakan konsert busking percuma sambil menderma bagi mengumpul dana bantuan” jelasnya.
Menurutnya, antara artis yang bakal membuat persembahan adalah Ameng Spring, Umarul Iklim, Syafiq Farhain, Alim Kris, Maman Teachers Pet, Bob Sentuhan, Mus Kemala, Belle Fattah, Iss Farhan, Black Maria, Islah & The People dan program akan dihoskan oleh pelakon Radhi Khalid.

Konsert busking itu akan diadakan berhadapan pasaraya Kamdar, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada 29 Januari ini bermula 2.30 hingga 6.30 petang.
Seterusnya, persembahan diteruskan di Padang Kota, Pulau Pinang dan Terengganu Drawbridge, Kuala Terengganu serta dijangka diadakan di beberapa lokasi lain seperti Ipoh, Kota Bharu dan lain-lain pada tarikh yang bakal ditentukan kelak.