KUALA LUMPUR – Selepas beberapa siri pertelagahan dalaman UMNO, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akhirnya dipecat daripada parti itu.
Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato’ Onn di sini, malam tadi yang turut membabitkan beberapa nama besar yang lain, menurut Ahli MKT UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi.
Menurut beliau ahli lain yang digantung termasuk Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, bekas Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Selangor Tan Sri Noh Omar yang digantung keahlian selama enam tahun.
Bagaimanapun, Noh meminta untuk dirinya dipecat kerana tidak mahu dirinya digantung selama enam tahun dan MKT akur dengan permintaan beliau.
Turut digantung keahlian selama enam tahun ialah Ahli MKT UMNO Fathul Bari Mat Jahya, bekas Ahli Parlimen Jempol Datuk Salim Mohd Sharif,dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
Terdahulu Pengerusi Perhubungan UMNO Datuk Megat Zulkarnain Omardin memaklumkan bahawa MKT terpaksa memecat keahlian Noh selepas bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu meminta MKT berbuat demikian.
Menurutnya, Noh telah disabitkan dengan enam belas tuduhan sabotaj terhadap parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.
“Proses (siasatan) itu telah berjalan dan 16 pertuduhan telah dibuat berdasarkan bukti-bukti itu adalah kukuh.
“Saya mesti memperbetulkan ia tiada kaitan dengan soal tidak menyokong usul yang telah dibentangkan perhimpunan agung (PAU),” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat itu.