Kuala Lumpur – Seramai 100 pasangan pengantin diraikan dalam Majlis Walimatul Urus Perdana anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dataran Merdeka, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata kesemua pasangan pengantin yang diraikan dalam majlis bersempena Karnival MAIWP 2023 itu, merupakan kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Menurutnya lagi, kesemua pengantin merupakan penerima skim bantuan perkahwinan yang ditawarkan MAIWP sejak 2016.
Setiap pasangan turut diberi sepersalinan pakaian pengantin lengkap dengan perhiasan, selain sumbangan wang tunai antara RM3,000 hingga RM5,000.
Malah acara anjuran bersama MAIWP dan Pertubuhan Kemanusiaan Naurah Care itu secara tidak langsung menjadi tarikan pelbagai pihak termasuk pelancong asing bagi mengetengahkan budaya di negara ini pada masa akan datang.

Pengerusi Naurah Care, Sheikh Ahmad Fakhruddin Sh. Abd. Rahim berkata, acara seterusnya dijangka berlangsung pada Disember ini. Bagaimanapun, jumlah untuk sesi seterusnya kami tidak pasti. Bergantung kepada pihak MAIWP nanti.
“Paling penting, acara seperti ini diadakan dengan pelbagai aktiviti lain untuk bersama-sama mengetengahkan budaya masyarakat ini di samping memberi peluang kepada ramai orang mengenai peranan MAIWP.
Sheikh Ahmad Fakhruddin berkata, pihaknya akan mempelbagaikan acara sampingan dalam penganjuran perkahwinan besar-besaran pada masa akan datang.


Bertemakan ‘Nostalgia Adat Istiadat Kegemilangan Melayu Islam’, pasangan pengantin turut diarak menaiki bas ‘Hop on Hop Off’ mengelilingi Jalan Raja Laut sebelum disandingkan di pelamin dan diraikan dalam acara makan beradab sepanjang satu kilometer.


Majlis yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar bertemakan ‘Nostalgia Adat Istiadat Kegemilangan Melayu Islam’.


Sehubungan itu, Mohd Na’im turut melancarkan kempen Jom Kahwin khusus buat masyarakat di Wilayah Persekutuan yang merangkumi tiga wilayah – Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Kempen Jom Kahwin akan berlangsung sepanjang tahun dengan disusuli pelbagai program menarik yang akan disediakan,” katanya.

Objektif utama, menurut beliau adalah untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat khususnya di wilayah berkenaan akan kepentingan ilmu dalam membentuk keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah seperti yang disebut dalam al-Quran, Surah Al-Ruum: Ayat 21.


Lebih menarik lagi, majlis ini berlangsung turut dimeriahkan lagi apabila dua pasangan pengantin dinikahkan secara langsung disaksikan oleh ratusan pengunjung yang hadir.
Turut hadir ialah Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya; dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Saraya Arb.

Selain meraikan 100 pasangan pengantin berkenaan, Karnival MAIWP 2023 pada hari kedua berkenaan turut menampilkan bengkel kartun, pertandingan melukis poster, demostrasi robotik, program pendidikan MAIWP dan pementasan As-Sabil (seni budaya antarabangsa).