Gelaran bukan jaminan kedudukan dimuliakan – Mat Sabu

Published by

on

Kuala Lumpur – Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan gelaran yang diterima semalam, bukan jaminan kedudukan seseorang itu akan dimuliakan atau dipandang rendah.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, walaupun ada sesetengah individu mempunyai gelaran tertinggi, namun dalam politik dan pilihan raya mereka tetap ditolak oleh rakyat.

“Ada rakan pernah berkata pada saya, orang Melayu amat menghormati mereka yang bergelar dengan gelaran yang tinggi. 

“Jawapan saya, dalam politik dan pilihan raya, ada yang bergelar Tun, Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk ditolak oleh rakyat dan kalah di tangan orang biasa. 

“Oleh itu, soal gelaran bukanlah bermakna kedudukan seseorang itu dimuliakan atau direndahkan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Semalam, Mohamad mengetuai senarai penerima gelaran darjah kebesaran sempena Hari Wilayah Persekutuan.

Beliau menerima darjah kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bersama enam lagi penerima darjah kebesaran itu.

Mohamad adalah penerima tunggal darjah kebesaran berkenaan dalam kalangan ahli politik.

Sama ada mempunyai gelaran atau tidak, menurutnya, yang penting mesti bekerja dan berbakti kepada masyarakat untuk menegakkan perkara makruf serta keadilan, menentang kezaliman selain menonjolkan akhlak mulia.

“Kita mengalu-alukan gelaran yang diberikan itu sebagai tanda penghormatan. 

“Pada saya, kemegahan atau kehinaan, kejayaan atau kegagalan seseorang itu bukanlah bergantung kepada gelaran yang diterima itu, sebaliknya bergantung kepada usaha murni yang dilakukan dengan konsisten pada setiap masa,” katanya.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.