Kuala Lumpur – Tidak dapat melihat adalah sesuatu yang sukar ditambah pula dengan masyarakat sekeliling yang tidak menyokong serta kekurangan kemudahan asas seperti bahan bacaan.
Kos yang tinggi untuk menghasilkan buku dalam tulisan braille sehingga mencecah 10 kali ganda daripada biasa menyebabkan golongan OKU penglihatan tidak mempunyai akses lebih luas kepada ilmu berbanding dengan mereka yang normal.
Disebabkan itu, Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM) memulakan inisiatif dengan mengadakan program makan malam dan penyampaian anugerah.
Majlis yang dijadualkan berlangsung pada 22 Febuari di Bangi Avenue Convention Centre itu nanti adalah bagi mengumpul dana untuk pengurusan program sepanjang tahun 2023 dan pemerkasaan percetakan braille.

Pengerusi PPOBM, Muhamad Huzaifah berkata program ini adalah selaras meraikan dan menghargai usaha golongan yang terpilih ini agar masyarakat Malaysia mengiktiraf kejayaan golongan OKU penglihatan dan memberi peluang kepada golongan tersebut menjadi sebahagian daripada kebanggaan negara.
Selain itu, memberikan inspirasi kepada golongan muda OKU Penglihatan agar tidak sekadar menunggu bantuan bahkan mencipta sendiri peluang kejayaan.
“Dengan dana dari program makan malam ini, kami juga ingin merealisasikan harapan bagi menubuhkan ‘Braille House’ untuk memajukan industri percetakan braille agar dapat meluaskan lagi akses bahan bacaan kepada golongan yang memerlukan”, katanya.

Pengarah program, Shukri Shuhaimee berharap program makan malam ini nanti dapat membantu pihak pertubuhan mengumpulkan dana yang disasarkan bagi perjalanan program dan urus kerja pertubuhan.
“Kami juga berharap usaha pertubuhan untuk memantapkan percetakan braille mendapat perhatian YAB Perdana Menteri, Datuk seri Anwar Ibrahim terutama sekali dalam menghasilkan Al Quran Braille dan diedarkan ke seluruh dunia”.
“Sokongan dari Perdana Menteri ini secara langsung membawa PPOBM lebih dikenali dan menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar bahan bacaan dan Al Quran braille”, ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, setiap meja dijual dengan harga RM10,000 (pakej Silver) 10 orang, RM20,000 (pakej Gold) 10 orang dan RM30,000 (pakej Platinum) 10 orang. Selain itu pakej individu juga disediakan dengan harga RM1,000 seorang.

Pada majlis itu nanti, tetamu akan dihiburkan oleh penyanyi terkenal, Adira Suhaimi dan Hafiz Suip.
Turut hadir pada sidang media, En Saiful Rizal Che Mat dan Puan Norhidawati Abd Aziz dari Oilylicious Healthcare sebagai penaja bersama.
Bagi yang berminat, boleh hubungi +6011 6219 7914 atau layari laman sesawang https://dinner.ppobm.org.my/