SHAH ALAM – Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) hari ini telah menyantuni delegasi AJK Pelaksanaan Smart Melaka dalam satu sesi perkongsian ilmu, iaitu Lawatan Penanda Aras Pembangunan Bandar Pintar, bertempat di Smart Selangor Centre of Excellence, Wisma Ehsan, Shah Alam.
Lawatan rasmi oleh delegasi AJK Pelaksanaan Smart Melaka pada hari ini bertujuan untuk mendapatkan pengetahuan dan pengalaman berkenaan inisiatif-inisiatif pintar yang telah dibangunkan oleh SSDU sebelum ini.
Menurut Pengarah Urusan SSDU, En. Ahmad Akmal Bin Hamzah perkongsian pada hari ini membuktikan kejayaan Negeri Selangor dalam membangunkan inisiatif pintar sehingga menjadi rujukan negeri lain bagi pelaksanaan negeri / bandar pintar seumpama program Smart Selangor.
“SSDU sentiasa terbuka untuk berkongsi inisiatif yang telah dijalankan, untuk menjadi panduan buat negeri-negeri lain dalam menyediakan perancangan dan pelaksanaan berkaitan dengan pembangunan Bandar atau Negeri Pintar. Selain daripada berkongsi pengetahuan, SSDU juga tidak keberatan jika ada pihak yang memerlukan bantuan dan kepakaran dalam bindang berkaitan dan kami akan sentiasa bersedia memberikan komitmen sepenuhnya bagi menjayakan perkara tersebut.”
Taklimat mengenai inisiatif Smart Selangor telah dibentangkan oleh En. Ahmad Akmal Bin Hamzah, dan antara topik yang telah dibentangkan semasa sesi taklimat adalah mengenai pelaksanaan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP), pembangunan aplikasi Citizen E- Payment (CEPat), dan juga penerangan mengenai program Scan To Ride (Bas Smart Selangor) .
Turut hadir pada sesi perkongsian tersebut adalah Ketua ICT Negeri Melaka Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri Negeri Melaka, Tuan Hj Fauzi Bin Elham@Alhim, Encik Jaibalan Harirajan, Pengarah Negeri Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Prof. Madya Ir Dr. Md Nazri Bin Othman, Penolong Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), dan juga Ts Zulkifflee Mohamad, Senior Principal Analyst Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT).
Program pada hari Isnin tertumpu kepada sesi perbincangan kumpulan (Focus Group Discussion) yang menggunakan kaedah Agile, manakala pada hari Selasa, satu sesi lawatan telah diadakan ke Smart Selangor C5i Operations Centre (SSOC) yang turut dihadiri oleh YB Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi Negeri Melaka, Y.B. Datuk Rais Bin Datuk Wira Yasin. Sebelum berlepas pulang, delegasi AJK Pelaksanaan Smart Melaka turut melawat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Raja Tun Uda untuk sesi perkongsian pelaksanaan perpustakaan pintar dan moden yang turut memainkan peranan bagi memacu Komuniti Pintar.
Buat makluman, SSDU kini sedang aktif menjalankan aktiviti promosi dan hebahan mengenai inisiatif-inisiatif Smart Selangor melalui pelbagai platform. Antara aktiviti yang sedang giat dijalankan adalah kempen hebahan penggunaan aplikasi Citizen E-Payment (CEPat) dan juga kempen hebahan inisiatif Smart Selangor di semua Program Jelajah Kita Selangor Penyayang 2023.